Pesanan guru al-Quran...

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»

Selepas tamat kelas al-quran semalam, rabu, 30/11/2011, guru al-Quran saya, ustaz Abdul Wahab menyampaikan beberapa pesanan:

Untuk mengetahui dengan betul sebutan makhraj dan seni suara al-Quran, kamu hendaklah melazimkan diri mendengar bacaan daripada orang-orang yang mahir membacanya. Di Ghana, dalam seminggu, sehari akan diperuntukkan khas untuk mendengar rakaman bacaan daripada syeikh-syeikh yang besar. Tiada hafalan pada hari tersebut. Di situ, para pelajar dapat mempelajari bacaan al-Quran dari sudut makhraj, seni suara dan lain-lain.

Majoriti pelajarnya dapat membaca al-Quran sama seperti syeikh-syeikh yang besar seperti Sudais, Misyari, Hudzaifi, Basfar, Basit dan Matrud. Solat di belakang mereka, seolah-olah sama seperti solat di belakang syeikh-syeikh tersebut.

Di sana, kami bangun seawal jam 4 pagi dan berehat pada jam 9 malam, seterusnya meneruskan hafalan al-Quran kadang-kadang sampai ke pagi keesokan harinya.

Al-Quran dan muzik adalah dua benda yang berlainan. Hati manusia tidak dapat menerima kedua-duanya pada masa yang sama. Lazimnya orang yang suka mendengar muzik, hatinya gundah bila mendengar bacaan al-quran.
Sentiasalah melazimi mendengar bacaan al-quran, kelak ia akan sebati dengan dirimu dan kamu akan mencintainya dan membenci muzik secara semula jadi.

Al-quran akan menyebabkan kawan yang bising menjadi senyap dan ketenangan akan muncul.
Dahulu ketika saya undergraduate, roomate saya tak pernah memasang muzik kerana dia tahu saya tidak menyukainya, dan sekiranya mereka mendengarnya sekalipun, sebaik sahaja saya membuka pintu bilik, mereka akan menutupnya.

Sentiasalah mendengar bacaan al-quran dan cuba memahami maknanya.
Pengulangan itu (mendengar al-Quran) akan menyebabkan kita mengingati dan memahami maknanya. Bayangkan bagaimana keadaan hidup kita jika sentiasa diperingatkan dengan al-Quran...
Pengulangan menyebabkan kita mampu menguasai kemahiran tajwid dan mencantikkan bacaan.

Sentiasa mendengar bacaan al-Quran menyebabkan kita mengulang secara tidak langsung, dan ia menguatkan ingatan.

Saya tidak suka makan di cafe. Apa yang saya lakukan pada setiap hari ialah saya akan bungkus makanan saya dan akan makan di bilik. Di sana saya akan memasang al-Quran dan makan sambil mendengarnya. Setiap kali saya berada di dalam bilik, saya akan sentiasa memasang al-Quran. Masa yang kita ada sebagai seorang pelajar di universiti tidak sama dengan pelajar yang berada di madrasah tahfiz. Mereka di sana memperuntukkan sepenuh masa untuk al-Quran. Apa yang perlu kita lakukan ialah mengisi masa yang terluang dengan al-Quran.

Ramai orang membaca buku sambil mendengar muzik. Kadang-kadang dia juga ikut menyanyi pada masa yang sama. Cubalah kamu membaca buku sambil mendengar al-quran. Permulaannya susah, tetapi bila ianya sudah sebati, ada kelebihan bagi diri kamu di situ. Kamu mendapat kefahaman dalam pembacaan, di samping mengulang al-quran pada masa yang sama.