Semarakkan Cinta

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Cintailah Allah semahunya kerana tiada cinta yang lebih ampuh daripada cintanya...
Cintailah manusia sekadarnya kerana tiada manusia yang terlepas daripada kealpaan dalam percintaan...
~Cinta Allah~

Ada beberapa kenyataan tentang cinta yang perlu kita fahami
>Cinta kepada Allah adalah tujuan, cinta kepada Nabi adalah jalan (untuk mencapai tujuan).
>Untuk mencintai seseorang, perlu kita kenal padanya.
>Kalau kita rasakan cinta itu indah di hati, Allah lebih indah daripada itu.
>Cinta kepada Allah adalah paling utama kerana Allah yang menciptakan cinta.
>Cinta kepada Allah adalah sumber kekuatan kepada cinta yang lain.

Ungkapan cinta:
Cintailah sesiapa yang benar-benar mencintai kita kerana ia akan berbalas, bukanlah mencintai sesiapa yang kita ingin cintai, kerana belum tentu ia akan berbalas.

'Siapa yang lebih cinta dialah yang paling banyak memberi'
Tanda Allah lebih banyak memberi:
1.Allah beri tanpa kita minta; jantung yang berdegup, oksigen yang kita hirup dll.
2.Tidak mengharapkan ucapan terima kasih; walaupun ramai manusia yang menderhakai Allah, Allah masih memberi nikmat dalam kehidupan mereka.
3.Allah sangat pemaaf dan Allah juga cinta kepada kemaafan. Allah lebih gembira menerima taubat hambanya lebih daripada kegembiraan si musafir yang kehilangan untanya di padang pasir lalu dia menjumpainya semula setelah putus harapan.

Dialog antara Nabi Musa dengan Allah
Nabi Musa:
'Ya Allah apa yang akan kau katakan pada orang yang taat, bangkit untuk mendirikan solat kepadaMU?'
Allah:
'Selamat datang wahai hambaku.'
Nabi Musa:
'Bagaimana pula apabila seorang yang berdosa datang untuk solat?
Allah:
'Selamat datang wahai hambaKU, selamat datang wahai hambaKU, selamat datang wahai hambaKU.' 
Maka oleh itu, untuk tidak dikecewakan dalam bercinta, cintailah Allah...

~Cinta Makhluk~

Apa ta'rif cinta?
Cinta adalah perbuatan bukanlah kata-kata. Ia dapat diterjemahkan dengan tindakan tanggungjawab. Bilamana seseorang itu mengatakan, 'Saya cinta kepada awak,' ia bermakna 'Saya ingin bertanggungjawab terhadap awak.'
Bilamana seseorang itu mencintai seseorang yang lain, maka dia akan mempersiapkan persiapan yang terbaik untuk kekasihnya; ilmu, akhlak, kewangan dll.

Prinsip dalam percintaan
>Kenal dulu baru bercinta; semasa bercinta masing-masing berlakon (all prepare to be good)
>Bila bercinta bukan kerana Allah, cinta itu buta. 
>Cinta yang hakiki apabila si pencinta dapat melihat dua sisi orang yang dicintainya; baik dan buruk, lalu dia mencintainya kerana kebaikan yang ada padanya.
>Cinta itu bukan hanya dorongan perasaan tetapi juga disertai peraturan daripada Allah.

Pesanan kepada remaja
Semakin banyak kemanisan cinta yang anda teguk (sebelum pernikahan), semakin tawar dan hambar pernikahan anda.
Ungkapan: 
Perkahwinan boleh menjadi pusara kepada percintaan.

Bagaimana hidup berpasangan?
>Kita menjadi orang yang baik lebih penting daripada mencari pasangan yang baik.
>Dasar pernikahan Allah adalah untuk mentaati Allah dan berperanan sebagai khalifah.
>Perubahan kita (menjadi baik) akan mengubah orang lain.
>Jangan mencari kebahagiaan dalam perkahwinan tetapi bawalah kebahagiaan dalam perkahwinan.
>Bilamana suami menjalankan peranan dengan baik, maka hak isteri akan dipenuhi begitu juga sebaliknya.
>Berfikirlah untuk memberi nescaya kamu akan menerima.
>Jangan bergantung kepada kekuatan kita tetapi bergantunglah kepada Allah.
>Rumah tangga adalah masjid, oleh itu ia perlu diasaskan dengan taqwa.
>Untuk kekal dalam cinta dasarkanlah dengan dasar cinta yang kekal.
Jalan untuk mencintai Allah
Sebahagian jalan untuk mencintai Allah adalah melalui manusia.
Sebagai contoh, seorang guru menyampaikan ilmu kepada muridnya. Seandainya ilmu yang disampaikan itu bermanfaat maka ia dikira sebagai jalan untuk menyampaikan cintanya kepada Allah. Begitu jugalah dengan ibu bapa yang mendidik anaknya kerana memahami ia sebagai sebuah amanah dan pemimpin yang memberikan keadilan kepada rakyatnya.

Apa maksud saya cinta kamu kerana Allah?
1.Dasar cintanya adalah mentaati Allah. Cinta itu sebaga wadah untuk beribadah kepada Allah dan melaksanakan tugas sebagai khalifah.
2.Jalan yang dipilih mesti menepati syara'.
3.Jangan cinta kepada makhluk mengatasi cinta kepada Allah

'Tidak ada kasih kepada manusia dengan menderhakai Allah'
Kisah Firaun dan Siti Asiah: 
Siti Asiah merupakan seorang isteri yang solehah. Dia mentaati firaun dalam setiap perkara yang baik. Namun bilamana Asiah diperintah untuk menyembah Firaun, dia memberontak dan akhirnya dia dibunuh.

Kisah Saidina Abu Bakar dan Anaknya:
Anak Abu bakar belum memeluk islam ketika peperangan badar berlaku. Beliau memberitahu, dia terpaksa mengelak daripada bertemu ayahnya di dalam peperangan tersebut. Jawab Abu Bakar, 'Demi Allah aku tidak akan teragak-agak memancung kepala engkau sekiranya kita bertemu di saat itu.'

Kisah 'Umair Bin Wahab:
'Umair Bin Wahab pernah berhasrat dan merancang untuk membunuh Nabi Saw. Takdir Allah, dia mendapat hidayah dan memeluk islam.
Kata 'Umar al-Khattab (sebelum 'Umair memeluk islam), 'Babi lebih aku cintai daripada engkau.' Tetapi setelah 'Umair memeluk islam, 'Umar berkata, 'Engkau lebih aku cintai daripada anakku sendiri.'

Siapa yang memisahkan cinta seseorang kepada Allah?
Hakikatnya kita semua telah berikrar mengakui ketuhanan Allah ketika di alam ruh.  Ikrar itu sudah pasti dilafazkan dengan sepenuh kecintaan kepada Allah.
Namun sebaik sahaja dilahirkan ke dunia, segalanya berubah. Ramai di antara kita seolah-olah tidak pernah mengenal cinta Allah.
Antara faktor terbesar yang memisahkan si anak dengan cinta yang sebenar adalah ibu bapa dan sistem kehidupan. 

Sabda Nabi Saw:
'Setiap anak itu dilahirkan dengan fitrah. Maka ibu bapanya yang mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi.'

Satu analogi, seorang anak yang dipisahkan daripada ibu bapa yang sebenar dan dibesarkan oleh keluarga angkat. Apabila meningkat dewasa, keluarga angkatnya memberitahu perkara yang sebenar. Apabila dia bertemu dengan ibu bapa asalnya, siapakah yang lebih dicintai?

P/S:
Cinta itu adalah ikatan hati dan ia sinonim dengan iman. Siapa yang kuat imannya, maka akan kuat cintanya.
"Ya Allah terbitkanlah rasa cinta kami kepadaMU dan kepada orang yang mencintaiMU, dan jadikanlah keinginan cinta kami kepadaMU mengatasi keinginan kami kepada air yang dingin di saat dahaga yang amat."
(Tulisan ini adalah hasil catatan daripada rancangan Tanyalah Ustaz yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol. Maaf, saya tidak dapat menulis setiap isi yang disampaikan dengan tepat. Malahan ada juga pertambahan daripada saya yang lemah ini di dalam catatan di atas)

Belajar Untuk Menerima

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Susah untuk sesetengah manusia menerima sesuatu perkara yang bertentangan dengan apa yang dia rasa...
 
Rasa macam dah buat kerja... Tapi orang lain kata, “Awak ni nampak rilek je...”
Rasa macam dah buat baik dah... Tapi orang kata, “Awak ni nampak macam berlagak je...”
Rasa lebih baik bersikap tenang untuk menghilangkan kekusutan yang ada, tapi orang kata, “Ni mesti tak buat kerja... Tak nampak serabutpun...”

Sekali bila hak kita dipertikaikan, kita cepat melenting. Cepat merasa tak puas hati dengan tuduhan-tuduhan yang dikenakan...

Tapi bila tanya balik pada diri, berapa banyak hak Allah yang telah kita langgar? Amanah yang telah disia-siakan? Janji yang hanya tinggal janji? 

Kalau hak Allahpun kita buat sambil lewa, takkanlah bila hak kita orang pertikaikan kita nak marah? Bukankah hati mereka itu milik Allah?


Bila bekerja kerana mengharap sesuatu daripada manusia, kita akan merasa sempit dengan banyak perkara. Lakukanlah kerana Allah... Sesungguhnya Allahlah sebaik-baik Pemberi Balasan...

Manusia itu ibarat lautan. Sebanyak manapun air yang dicurahkan ke dalamnya, kamu tidak akan dapat melihat hasilnya...