Halangan Bertaubat

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Mudah-mudahan inilah hijrahku...
Menyarung pakaian yang baru...
Meninggalkan yang lama bukanlah kemampuanku...
Namun harus digagahi kerana malu dengan tuhanku...


Antara perkara yang menghalang manusia daripada bertaubat adalah:

1.Bermudah-mudah dengan sesuatu yang dianggap lambat lagi berlaku
# Merasakan balasan azab atas maksiat yang dilakukan hanya dirasai di akhirat
# Lambat lagi mati
=>Tidak ada istilah mati itu hanya untuk orang tua. Bila sampai masanya, tidak akan dilambatkan dan dipercepatkan walau sesaat oleh Allah. Andaikata ianya lambat, tetap kita
akan sampai ke sana (akhirat), dan dihitung amal kita oleh Allah.

2.Sukar untuk meninggalkan kesedapan dan keinginan terhadap dunia
# Dia mungkin terlupa, sesedap dan seindah manapun kehidupan dunia ini, ia pasti akan berakhir. Manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang tiada pengakhirannya. Kesedapan atau kesengsaraan di sana ditentukan oleh Allah atas keredhaanNYA terhadap amal yang dilakukan oleh seseorang di atas dunia
=>Kalau doktor tak bagi kita makan sesuatu yang kita sukai, mesti kita tidak akan makan makanan tersebut kerana bimbang dengan penyakit yang akan menimpa. Sikap sebegini perlu lebih-lebih lagi ditekankan terhadap perintah dan larangan Allah dan rasulNYA kerana apa yang datangnya daripada Allah adalah kebenaran yang mutlak (sebenar-benarnya).

3.Suka bertangguh
# Merasakan ada kesempatan untuk dia bertaubat pada masa akan datang
=>Kalau kita tidak bertaubat pada waktu kita tersedar kita telah buat maksiat, pada waktu-waktu yang lain lebih susah lagi untuk kita bertaubat. Boleh jadi perbuatan tersebut telah menjadi darah daging kita pada masa akan datang kerana dipupuk sedikit demi sedikit, tanpa ada penyesalan. Ibarat seorang pemuda yang hendak mencabut pohon kayu. Ditangguhkan ke tahun hadapan kerana akar pohon tersebut dirasakan kuat mencengkam ke dalam tanah. Tanpa disedarinya, semakin bertambahnya tahun, bertambah besarlah pohon tersebut, semakin kuat cengkaman akarnya, dan semakin lemahlah tubuh pemuda tersebut kerana ketuaan.

4.Menjanjikan pada dirinya akan kemaafan Allah
# Orang ini dikatakan sehabis bodoh kerana mengharapkan rahmat Allah tanpa bertaubat seolah-olah mengharapkan perahu berlayar di atas daratan.
=>Nabi saw bersabda, 'Orang yang bijak adalah yang sentiasa menghitung (muhasabah) dirinya, dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Dan orang yang lemah itu adalah orang yang mengikut keinginan nafsunya dan mengharapkan sesuatu daripada Allah dalam bentuk angan-angan.'

5.Kerana menganggap kecil dosa yang dilakukan
# Memandang dosa kecil sebagai sesuatu yang remeh. Apabila kerap dilakukan, dosa yang besar juga turut dipandang remeh.
=>Orang yang beriman memandang dosanya ibarat sebuah gunung yang hendak menghempap dirinya, manakala orang yang munafik menganggap dosanya ibarat lalat yang datang menghinggap di atas hidungnya lalu dihalau dengan tangannya.
=>Jangan dilihat kepada kecilnya dosa, tetapi lihatlah kepada siapa dosa itu dilakukan; Allah yang MAHA BESAR
Syeikh Husni Ginting berpesan:
"Jangan kamu bosan berbuat kebaikan, tetapi bosanlah berbuat kejahatan. Seandainya terlanjur berbuat kejahatan, janganlah bosan bertaubat kepada Allah..."