Nasihat Ibu

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Tidak ada manusia biasa yang lahir tanpa ada kaitan pada ibunya.
Dibesarkan dalam kandungan, sebelum keluar melihat dunia.
Sebaik keluar, tidak ada yang merangkak sendiri mencari kehidupan.
Pasti ada yang membesar dan mengasuh sehingga dewasa.

Dinyatakan dalam sebuah hadis, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad saw :“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”
Jawab Nabi  : “Ibu kamu”
 Lelaki         : “Selepas itu?"
 Nabi           : “Ibu kamu”
 Lelaki         : “Selepas itu?”
 Nabi           : “Ibu kamu”
 Kali ke 4 lelaki itu bertanya : “Selepas itu?”
Jawab Nabi  : “Ayah kamu”

Kadang-kadang tanpa sempat kita berkata, si ibu terlebih dulu mengerti dan memahami apa yang ingin kita bicarakan.
Setiap simpulan permasalahan yang bermain diminda terungkai satu persatu di dalam pesanan mereka.
Allah anugerahkan mereka  kelebihan dalam memahami anak-anak yang mereka besarkan.

Pernah dulu saya minta sesuatu, tetapi emak minta saya tangguhkan dahulu keinginan tersebut.
Tidak sekali saya suarakan, namun respon balasnya tetap sama.
Kini, saya memahami apakah maksud dan hikmah di sebalik pesanan tersebut.

Ada satu ketika pula saya menemui jalan buntu untuk buat satu keputusan.
Penat dan letih apabila kerap memikirkan perkara tersebut.
Apabila berhubung dengan emak, Allah lapangkan dada saya dengan nasihat yang emak berikan walaupun sebelum ini saya telah menerima pelbagai jenis nasihat daripada orang lain.

Saya jenis yang jarang berkongsi.
Emak tahu tentang hal ini.
Tidak pernahpun saya rasa emak bersikap kontra dengan kecenderungan saya yang sebegini.
Bahkan saya tetap rasa dihargai dan emak begitu memahami.

Saya memahami kemesraan itu akan lahir melalui ketenangan bukan ketegangan.
Ketenangan itu lahir daripada kesefahaman.
Manakala ketegangan pula lahir daripada perbezaan sikap dan pemikiran yang tidak mampu diterima, yang mungkin itu takdir untuk mereka tidak disekalikan.

Emak tidak didik saya sepertimana emak dididik dahulu...
Tetapi saya dididik mengikut keperluan zaman saya dibesarkan...


Istikharah Itu Bagaimana Keputusannya?

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Saya pernah berpengalaman dalam melakukan istikharah.
Dah lama... Lama dulu... Pada tahun 2008.
Maksud saya pengalaman merasai bagaimana proses istikharah itu bermula sehinggalah sampai proses membuat pilihan.
Ustaz-ustaz selalu sebut:
"Siapa yang tak merasa, dia tak tahu."
Saya merasai pengalaman itu.

Pengalaman itu berlaku ketika ingin membuat pilihan tempat dan bidang untuk menyambung pelajaran.
Kertas terakhir SPM dijawab dengan penuh kezaman untuk menjadi seorang doktor.
Alhamdulillah saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Tanta Mesir.
Pada masa yang sama, satu lagi tawaran lain sampai, iaitu kejuruteraan di UIAM.

Proses istikharah itu bermula ketika saya mengikuti kursus bahasa arab di Nilam Puri, Kelantan.
Maksud saya solat istikharah bermula dengan bersungguh di sana.
Setiap kali lepas solat, sebelum tidur, qiam, semuanya dititipkan sekali doa istikharah.

Bila minta pandangan mak, mak kata:
"Mak tak kisahpun Abu Abdullah nak belajar dekat mana, tapi kalau belajar dalam negara senang sikit mak dengan abah nak tanya khabar kalau ada apa-apa masalah."

Makcik pula kata:
"'Abu Abdullah terima je tawaran Mesir tu. Ada anak kawan makcik, best student PMR Negeri --- bila ambil engineering dekat UIA, kena dismiss (buang). Lagipun 'Abu Abdullah' minat nak jadi doktorkan?"
 
Malah ketika medical check-up, doktor di situ sempat berpesan dekat saya:
"Awak nak pergi sambung mana ni? Nak jadi doktor? Tak payahlah... Saya ni kalau boleh patah balik, saya taknak jadi doktor. Awak cuba bayangkan, pagi-pagi dah masuk kerja, lewat petang baru balik. Nanti malam kalau ada emergency call, saya kena datang lagi. Boleh tahan ke hidup macam ni?"

Walaubagaimanapun, keazaman saya untuk menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan tak pernah luntur. Apapun perkara negatif yang disampaikan, saya buat-buat tak dengar je. 

Ketika mengikuti kursus bahasa arab, sepenuhnya saya berbahasa arab di sana. Baik bercakap dengan orang ataupun bercakap sendiri, semuanya berbahasa arab. Nak kata terernya berbahasa arab, saya dapat hadiah pelajar terbaik untuk anugerah peperiksaan bertulis mengalahkan pelajar-pelajar lepasan STAM di sana :). Bunyinya macam berlagak, tapi itulah hakikatnya... hehe...

Jadi apa kaitannya dengan istikharah?
Kaitannya ialah saya betul-betul bersungguh untuk mempersiapkan diri untuk ke Mesir.
Namun pada suatu hari, Allah nampakkan satu gambaran di hadapan mata saya tentang dunia perubatan. Saya lihat video pesakit kencing manis kalau tak silap. Selepas daripada itu, kecendungan untuk masuk ke dalam bidang perubatan daripada 100% menjadi 0%. Saya sendiri tak mampu menjelaskan apakah kandungan video tersebut yang menyebabkan kecenderungan itu berubah.

Pengalaman itu benar-benar mengajar saya erti 'kuasa istikharah' dalam mempengaruhi keputusan.
Hati saya tenang dengan keputusan yang telah dibuat. Sekarang ni dah tahun ke-4 di UIAM dalam bidang kejuruteraan.

Namun, pengalaman ini meninggalkan satu format istikharah dalam pemikiran saya.
Pemilihan dibuat atas dasar hati itu cenderung dan lapang, manakala pemikiran pula menjadi tidak kusut apabila memikirkannya.

Persoalannya, apakah pilihan yang saya perlu buat andai saya berhadapan dengan perkara yang berlawanan dengan format di atas?
Hati tidak cenderung dan sempit, manakala pemikiran menjadi kusut apabila memikirkannya.
Saya benar-benar bimbang andai hati ini jadi begitu kerana dosa yang banyak di dalam diri. Lantas Allah menghijabkan diri untuk cenderung kepada kebaikan dalam membuat pilihan.
Allah...