Nasihat Ibu

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Tidak ada manusia biasa yang lahir tanpa ada kaitan pada ibunya.
Dibesarkan dalam kandungan, sebelum keluar melihat dunia.
Sebaik keluar, tidak ada yang merangkak sendiri mencari kehidupan.
Pasti ada yang membesar dan mengasuh sehingga dewasa.

Dinyatakan dalam sebuah hadis, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad saw :“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”
Jawab Nabi  : “Ibu kamu”
 Lelaki         : “Selepas itu?"
 Nabi           : “Ibu kamu”
 Lelaki         : “Selepas itu?”
 Nabi           : “Ibu kamu”
 Kali ke 4 lelaki itu bertanya : “Selepas itu?”
Jawab Nabi  : “Ayah kamu”

Kadang-kadang tanpa sempat kita berkata, si ibu terlebih dulu mengerti dan memahami apa yang ingin kita bicarakan.
Setiap simpulan permasalahan yang bermain diminda terungkai satu persatu di dalam pesanan mereka.
Allah anugerahkan mereka  kelebihan dalam memahami anak-anak yang mereka besarkan.

Pernah dulu saya minta sesuatu, tetapi emak minta saya tangguhkan dahulu keinginan tersebut.
Tidak sekali saya suarakan, namun respon balasnya tetap sama.
Kini, saya memahami apakah maksud dan hikmah di sebalik pesanan tersebut.

Ada satu ketika pula saya menemui jalan buntu untuk buat satu keputusan.
Penat dan letih apabila kerap memikirkan perkara tersebut.
Apabila berhubung dengan emak, Allah lapangkan dada saya dengan nasihat yang emak berikan walaupun sebelum ini saya telah menerima pelbagai jenis nasihat daripada orang lain.

Saya jenis yang jarang berkongsi.
Emak tahu tentang hal ini.
Tidak pernahpun saya rasa emak bersikap kontra dengan kecenderungan saya yang sebegini.
Bahkan saya tetap rasa dihargai dan emak begitu memahami.

Saya memahami kemesraan itu akan lahir melalui ketenangan bukan ketegangan.
Ketenangan itu lahir daripada kesefahaman.
Manakala ketegangan pula lahir daripada perbezaan sikap dan pemikiran yang tidak mampu diterima, yang mungkin itu takdir untuk mereka tidak disekalikan.

Emak tidak didik saya sepertimana emak dididik dahulu...
Tetapi saya dididik mengikut keperluan zaman saya dibesarkan...


0 comments:

Catat Ulasan