Antara Kecintaan dan Kebencian

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Saya sering terfikir...
Kenapa orang lain boleh jadi baik, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh jaga pandangan, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh membaca al-quran dengan penuh rasa kecintaan, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain mampu bangun bersujud dan merintih di malam hari, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain mampu untuk khusyu' dalam solat, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh berzikir dengan penuh rasa kelazatan, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh bersungguh menuntut ilmu agama, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh merasai manisnya iman, sedangkan saya tidak?

Hari-hari yang saya lalui dipenuhi dengan persoalan yang membunuh jiwa ini...
Saya juga sering merasakan,
"Adakah amalku selama ini tidak diterima?"
Mana taknya, pagi buat taat, petang buat maksiat...
Ibaratnya seperti berjumpa dengan seorang sahabat, mengucap salam tatkala bersua, memaki hamun bila tiada...
Sedangkan Allah taala berfirman:
"Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar." [Al-Ankabut:45]
Kenapa agaknya solat saya tidak dapat mencegah saya daripada melakukan perbuatan mungkar?
Teorinya mudah...
Ada sebuah alat penimbang berat...
Tertera di atasnya, INSERT RM2 PER PERSON, 50$ COIN ONLY x 4...
Saya pun keluarkan 2 keping RM 1 dan masukkan ke dalam mesin tersebut...
Setelah setengah jam berdiri di atas penimbang tersebut, tiada bacaan yang keluar...
Setelah sekian lama memikirkan...
Akhirnya baru saya sedar...
Namanya sama, duit... Tetapi jenis duit yang diminta itu tidak sama dengan duit yang dikeluarkan...
Begitulah juga solat... Apa yang dilakukan itu sama namanya, solat... Tetapi jenis solat yang diminta itu tidak sama sepertimana yang saya laksanakan...
Serupalah juga dengan sedeqah, puasa, dan amal ibadah yang lain...

Kenapa susah untuk saya jaga pandangan?
Bukankah telah diperintahkan Allah untuk saya menjaga pandangan?
"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, 'Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." [An-Nur:30]
Saya sedar dan faham tentang ayat ini...
Tetapi perasaan untuk mengkhianati perintah ini sentiasa membuak-buak di dalam hati...
Sesungguhnya nafsu itu sekiranya dimanja, ia akan menjadi tuan, dan sekiranya dikawal, ia akan kembali kepada tuhanNYA...
Ada sebuah perumpamaan buat nafsu (saya tidak ingat siapa yang mengucapkannya), "Nafsu itu ibarat kawanan kambing, sekiranya dikepung di suatu bahagian, ia akan berlari ke bahagian yang lain."
Tutuplah jalan itu dari segenap sudut, menurut kemampuan yang saya miliki...
Nabi saw mengajarkan kepada umatnya untuk berpuasa bagi mengawal hawa nafsu...
Tetapi sesetengah orang mengatakan, "Saya dah puasa dah, tapi tak berkesan pun..."
Pelajarilah erti puasa yang sebenar dan tunaikanlah hak-hak puasa itu sendiri...
Sekiranya berat untuk dilaksanakan, mulakanlah dengan perkara yang mudah.
Contohnya, bila nafsu kata nak makan chicken chop la hari ni, saya pun kata dengan nafsu, "Makan lauk telur pun dah cukup..."

Kenapa payah sangat nak istiqamah dan menghayati bacaan zikir dan alquran?
Bukankah Allah taala ada berfirman, dengan berzikir itu hati menjadi tenang? [Ar-Ra'd]
Daripada mana agaknya datang ketenangan? 
Daripada penghayatan yang mendalam terhadap bacaan yang diluahkan...
Bagaimana pula agaknya datang penghayatan itu?
Daripada mujahadah (susah payah) yang diletakkan kesabaran ke atasnya...
Kalau rasa nak baca satu juzuk atau beratus zikir sehari,
cuba buat kiraan matematik terhadap masa yang saya miliki...
Kalau saya peruntukkan setengah jam sehari, maksudnya masih berbaki 23 jam setengah lagi...
Sikit sangat sebenarnya yang saya peruntukan untuk zikir dan bacaan al-quran saya...
Kalau yang sikit ni pun tak mampu nak buat...
Ieee... Toksah beranganlah nakkan bidadari Allah...

Kenapa rasa malas itu timbul bila bicara bab menuntut ilmu agama?
Berapa buah buku saya habiskan dalam masa sebulan?
Berapa buah kuliah agama yang saya hadiri dalam masa seminggu?
Macam-macam alasan yang saya reka bila diajak pergi mendengar kuliah agama...
Hujanlah, assignment tak siap, esok ada kuiz, dan bermacam-macam lagi...
Mujurlah ada sahabat-sahabat...
Meningkat sedikit semangat yang malap ni...
Bila perhatikan balik...
Ilmu fardhu ain pun tak lepas ni...
Allah ada di mana?
Err...
Berat kalau macam ni...
Sebelum ingatan menjadi lemah, mata menjadi kabur...
Baik saya cepat-cepat belajar....
(Yang paling merisaukan saya ialah golongan pelajar yang mengambil jurusan agama... Andalah tempat rujukan agama pada masa akan datang... Korbankanlah sedikit ego anda untuk menuntut ilmu agama, walaupun ilmu yang diajar itu sekadar cara-cara mengambil wudhuk...)
Kenapa saya masih tidak dapat merasai manisnya iman?
Ini bukan persoalan untuk menentukan yang mana satu lebih manis, gula-gula atau cokelat...
Tetapi ini persoalan, adakah gula-gula dan cokelat itu manis?
Mana perginya deria rasa saya untuk merasai kemanisan iman?
Mata melihat kepada perkara yang bukan-bukan...
Telinga suka mendengar suara yang melalaikan...
Lidah berbicara perkara yang sia-sia...
Aqal jarang sekali memikirkan kebesaran tuhan...
Kesemua deria tersebut telah mempunyai 'kerja' masing-masing...
dan mustahil untuk dihimpunkan dua kerja pada masa yang sama...
Berikanlah pekerjaan asal mereka, perhati dan bertegaslah terhadap mereka...
Nabi saw bersabda:
"Tiga jenis sifat sekiranya ada pada manusia, ia akan merasai kemanisan iman. 1.Menjadikan Allah dan Rasul lebih dicintai daripada segalanya 2.Mencintai seseorang semata-mata kerana Allah 3.Membenci untuk kembali semula kepada kekufuran sepertimana benci untuk dicampakkan ke dalam neraka."

Kenapa susah untuk saya bangkit di tengah malam beribadah kepadaNYA?
Tidakkah saya sedar bahawa saya sangat-sangat memerlukanNYA?
Susah ya nak bangun?
Mana taknya... Setiap hari tidur lewat...
Kalau baca al-Quran ke, buku, bolehlah terima...
Ni... Ish2...
Tidurlah awal sikit... Pasang niat nak bangun esok hari... Insyaallah, Allah akan bantu...
Satu lagi... Kurang-kurangkanlah maksiat di siang hari, dan pertigkatkanlah amal kebaikan...
Insyaallah... Mesti senang nak bangun lepas ni...

Perasaan takut kepada Allah datang dan pergi...
Sedangkan maut itu datang dan tidak sama sekali akan pergi...[An-Nahl:61]
Antara kecintaan dan kebencian...
Ketaatan dan kemaksiatan...
Padanilah mereka dengan sebaiknya...
Kesilapan dalam meletakkannya...
Menatijahkan amal untuk sesuatu yang bukan pada tempatnya...

Lupakan sahaja akhirat...

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Bilamana hati dipandu dengan akal semata-mata...
Dikhuatiri akan terbitlah luahan-luahan yang tidak sepatutnya...


Lupakan sahaja akhirat...
Menyusahkan...
Sudahlah tidak nampak di mata...
Ditakut-takutkan pula dengan neraka...

Alah... Setakat syurga...
Kat dunia pun ada...
Nak hiburan?
Berlambak dekat kelab malam...
Nak makanan yang sedap-sedap?
Pergi sahaja restoran yang berbintang-bintang...
Nak melepaskan syahwat?
Rumah-rumah urut, pusat-pusat pelacuran bersedia memberi khidmat terbaik untuk pelanggannya...

Apalah ustaz ni...
Sibuk nak bercakap pasal agama...
Tak ke mana pun perbincangan kita ni...
Asyik-asyik solat, asyik-asyik solat...
Bernanah dah telinga ni dengar...
Tak habis-habis...
Ustaz ingat dengan solat tu boleh hasilkan bijih timah ke?
Daripada saya solat, baik saya baca buku...
Tak dapat duit sekarang pun, boleh jamin kerjaya saya pada masa depan...
Dah-dah...
Mesti ustaz nak cakap yang solat tu adalah amalan pertama yang akan ditanya di dalam quburkan?
Takpalah ustaz...
Saya ni muda lagi...
Belum sampai masa saya mati lagi...
Nanti dah tua-tua sikit nanti saya solat la...
Orang sekarang boleh belilah ustaz...
Kalau setakat malaikat tu...
Nanti saya bagi diorang ni RM 100,000 sorang...

Kalau ditakdirkan saya masuk neraka pun ustaz...
Saya tak kisahlah...
Kawan-kawan saya pun semuanya lebih kurang macam saya je...
Tak takutlah ustaz...
Banyak geng...
kalau nak kiralah ustaz, banyak kami lagi rasanya daripada malaikat dalam neraka tu...
Silap-silap haribulan kami yang bantai malaikat-malaikat dalam neraka tu...

Ustaz tak payah dah cakap pasal hukum-hukum agama...
Buat tu tak boleh, buat ni tak boleh...
Malahan ditambah pulak dengan hukuman yang dahsyat-dahsyat...
Hudud, qisas, entah apa-apa entah...
Meluatlah saya ustaz...
Kita sekarang ni dah moden la ustaz...
Quran tu bila datang?
Zaman nabi Muhammad ustaz...
Zaman dulu Nabi naik unta...
Kita sekarang dah naik kereta...
Mana boleh kita bawa kereta macam kita tunggang unta...
Jahanam kereta tu ustaz...
 
Pandulah hati dengan syariat...
Mudah-mudahan selamat dunia akhirat...
Siapa bagitahu kat awak yang kenikmatan syurga boleh dirasai di dunia?
Al-Quran? Hadis? atau sekadar melalui akal pemikiran yang terbatas?
Andai kata ianya sama, untuk apa Allah ciptakan alam dunia dan akhirat?
Adakah Allah menciptakan sesuatu yang sia-sia?
Maha suci Allah daripada melakukan perkara yang sia-sia...{Ali Imran:191}
[Tidaklah sama nilai sebiji guli dengan sebutir permata]

Bukankah setiap yang bernyawa itu pasti akan mati?
Untuk apa dimatikan sekiranya dunia inilah yang terbaik buat manusia?
Sesungguhnya kehidupan ini adalah sebagai ujian buat manusia...{Al-Mulk:2}

Sekiranya tiada kematian dan hari pembalasan...
Macam mana dengan keadaan orang yang dizalimi?
Adakah tiada pembelaan buat diri mereka?
Rakyat yang ditindas...
Orang-orang yang difitnah dengan perkara yang mengaibkan...
Banduan-banduan yang dipenjara dan diseksa tanpa sebab...
Gadis-gadis yang dirogol...
Bayi-bayi yang dibunuh dan dibuang di dalam tong sampah...
dan pelbagai lagi kezaliman-kezaliman yang lain...
[Kezaliman itu sukar untuk dikenalpasti selagi ianya belum terkena pada batang tubuh sendiri]
Andai kata dunia itu sama seperti akhirat,
Tiadalah kenikmatan yang sempurna buat mereka yang beriman di dunia...
Nabi saw bersabda, "Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga buat orang yang kafir"...
Dalam sabdaannya yang lain:
"Seandainya dunia ini bernilai seperti sebelah sayap nyamuk, nescaya tidak diberi minum kepada orang kafir walau seteguk air."
Tiadalah Nabi saw itu berdusta sama sekali.

Tidakkah kamu pernah terfikir...
Manusia itu sama sekali tidak mampu menolak kehendak tuhanNYA?
Lihat sahaja pada mereka-mereka  yang sudah tua...
Adakah mereka ingin kedutan yang ada di wajah mereka?
Kelemahan yang berlaku pada anggota tubuh badan mereka?
Tidak sama sekali...
Tetapi itulah kehendak tuhan yang sama sekali tidak mampu manusia menolaknya...
Solat, hudud, qisas adalah perintah yang terkandung di dalam al-Quran...
Selain itu terdapat perintah-perintah yang lain...
Semuanya adalah untuk kebaikan manusia...
Merangkumi segala proses dan perjalanan kehidupan sepanjang berada di dunia...

Alangkah ruginya diri...
Sekiranya mengkhianati perintah Sang Pencipta dan Empunya diri...
Dek kerana kerakusan yang tidak pernah memerhati...
Bahawa segalanya akan diperhitungkan nanti...

Dah boleh kahwin?

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»

Indahnya bahtera perkahwinan yang dilalui oleh Saidina Muhammad saw dan Khadijah ra.
Berteraskan ikatan perkahwinan yang sah dan dimulai dengan keinginan yang benar tanpa ada penyelewengan ditengahnya.
Mudah-mudahan diambil iktibar daripada kisah tersebut dalam diri setiap individu muslim yang inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat…

Sekiranya ditanya pada diri kita semua tentang keinginan untuk mendirikan rumah tangga, spontan jawapan “nak” terkeluar dalam benak perasaan kita.
Tidak kurang juga yang belum sempat ditanya, sudah menyatakan perasaannya dengan bersungguh-sungguh.

Suka saya bertanya pada diri…. 
Bila saya nak kahwin?
Insyaallah…. Lepas sembuh….
Kenapa? Tak sihat ke?
Kurang sihat... Banyak penyakit...
Sakit apa ye?

Tersenyum saya sendiri mendengar persoalan sebegini…
Kenapa bila disebut sahaja soal kahwin, kelihatan terpancar cahaya daripada wajah mereka yang ditanya. 
Seakan-akan mendengar suatu perkhabaran dari langit… 
Perkhabaran dari Tuhan kepada hambaNYA… Pujian yang tiada didapati daripada makhluk biasa…
Kenapa senyum? Kenapa suka? Kenapa gembira? Kenapa ketawa?
Semuanya berkait dengan soal kefahaman….

Bila sebut tentang kahwin, perkara apa yang kebiasaannya dibayangkan? difikirkan? dibincangkan? Berapa banyakkah fokus yang dilibatkan? Tidak lain hanya sedikit dan selebihnya diabaikan seakan-akan tiada terlibat ia dengan perkara yang dibincangkan….. 

Buat diri ini yang lemah….
Persoalan kahwin bukanlah persoalan yang mudah dan main-main. Tiadalah ia sekadar memenuhi kehendak nafsu semata-mata. Ia sangat berkait rapat dengan: 
(1) Kehidupan individu selepas berkahwin 
(2) Generasi yang bakal dilahirkan.

Suka saya bayangkan...  
Andaikata diri saya pada saat ini adalah diri yang sangat teruk, dan dijodohkan pula dengan seorang wanita, siapakah dia wanita tersebut?
Adakah dia seorang wanita yang solehah? 
Baik akhlak luar dan dalamnya?
Menjaga maruahnya sepanjang masa?

Merujuk pada firman Allah SWT:
"(lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik." [24:26]


Tiadalah kerungsingan di hati ini melainkan siapakah dia wanita tersebut…
Lihat khalifah 'Umar, siapa isterinya?
Abu Jahal?
Kelaziman yang Allah tetapkan adalah suatu kelaziman yang pasti. Baik dengan baik, jahat dengan jahat…. Dalam keduanya ada hikmah yang tersembunyi….

Bayangkan seorang yang sangat teruk dan jahat menginginkan sesuatu yang sangat baik dan beharga…
Adakah wajar?
Ibarat si hitam yang inginkan si putih… Dia menyangka dirinya cukup sesuai dengan pilihannya, tetapi tidak sedar bahawa si putih itu buta dan kudung tangannya….

Firman Allah SWT:
"Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara Yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal Yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah Sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira Wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman." [2:223]

Isteri adalah sebagai kebun, suami?
Sebagai pekebunnya….
Saya adalah ibarat seorang pekebun yang malas tetapi bercita-cita berkehendakkan faedah yang banyak daripada kebunnya…
Badan lembik, duit seadanya sahaja, nak beli baja pun x mampu…. Cuma sekadar angan-angan dan usahakan jika ada mood….
Rasa-rasanya... Bagaimanakah keadaan kebun saya?  
(x terurus…)
Bagaimana pula dengan hasilnya?
(ada… tapi.. sedikit dan kurang berkualiti… tiada siapa pun berminat…)
Bagaimana pula dengan faedah-faedah yang diimpikan?
(tolong jawabkan untuk saya…)

Terus kepada fokus yang kedua…
Generasi apa yang mahu saya lahirkan? Pemusnah @ perosak umat? 
Permulaan perkahwinan lagi sudah tidak dibentuk dengan baik, bagaimana pula dengan yang seterusnya? 


Bagaimana nak bina jambatan yang kukuh sekiranya tiangnya rapuh? 
Adakah cukup sekadar menghiasi jambatan tersebut dengan sepanduk-sepanduk dan hiasan-hiasan indah di atasnya? 
Memang ramai yang datang memuji jambatan tersebut, tetapi apa yang mereka dapat ialah terbunuh di bawah runtuhannya… 

Tuan Guru Nik Abd Aziz b Nik Mat pernah berkata, “Tujuan berkahwin ialah untuk meramaikan umat nabi Muhammad SAW.” 
Andaikata definisi ini yang digunakan…. Jenis apakah yang bakal saya hasilkan? Yang menentang @ yang melawan (ISLAM)?  Yang menyusahkan @ yang memeritkan? Mudah-mudahan tidaklah termasuk di kalangan yang disebutkan. 
Tapi itu hanya ‘mudah-mudahan’. Mudah-mudahan yang sangat ‘suka’ disebut tanpa ada usaha yang dibuat….

Pasangan hidup adalah suatu ‘hadiah’ daripada Allah kepada hambaNYA… Hadiah yang sangat bernilai…. Tertakluk kepada tema dan syarat…. 
Adakah saya akan mendapat hadiah yang baik, sekiranya hubungan saya denganNYA tiada dapat dilihat jaraknya? Banyak perintahNYA diabaikan…. LaranganNya bertukar menjadi perintah…. Suruh buat yang ni, saya kata nanti dulu… jangan buat yang ni, saya makin bersemangat nak buat…. Rasa-rasanya bagaimana bentuk hadiah yang mungkin saya dapat?
Allah lebih menggetahui segalanya...


Tiada semangat yang salah melainkan semangat yang hilang matanya…
Tiada keinginan yang benar melainkan keinginan yang kena pada tempatnya…

Teguran buat diri ini yang lemah…
Setiap apa yang berlaku ada penyebabnya…
Jadikanlah kesudahan itu suatu yang baik dengan memperbaiki permulaannya….
Apa yang saya lakukan pada hari ini adalah penentu bagi hasil yang akan saya perolehi pada masa hadapan…
Bertindaklah dalam keadaan sedar…
Allah Maha Mengetahui dengan apa yang saya lakukan….[24:30]

Keinginan yang melampau terhadap sesuatu perkara menyebabkan ramai manusia tertipu dengannya…
Tidak semua niat yang baik menghasilkan sesuatu yang baik seandainya tiada kena ia pada tempatnya…
Ramai manusia yang lupa pada hadapannya, kerana sibuk mengutip kecantikan di bawah kakinya…

(Artikel ini bukanlah bertujuan untuk melarang atau menakut-nakutkan golongan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi sekadar memberi pesanan buat diri ini agar jangan mengabaikan persediaan sebelum perkahwinan)

Wallahu'alam...


Cahaya

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»

Manusia hidup di bawah suluhan cahaya...
Pergerakannya, penglihatannya...
Semuanya memerlukan cahaya...
Yang membezakan sesama mereka adalah...
Kefahaman mereka terhadap cahaya...
Dari mana datangnya...
dan untuk apa didatangkan...

Sabda Nabi saw:
"Barangsiapa yang membaca surah Kahfi di malam jumaat,akan terbentanglah nur cahaya dari tempat duduknya hingga ke bait Al-Atiq (Kaabah)."
"Sampaikan berita gembira kepada mereka yang berjalan (ke masjid) pada waktu yang gelap-gelita, dengan cahaya yang sempurna di hari kiamat."

Doa nabi saw:
"Ya Allah! Jadikanlah bagi hatiku cahaya, percakapanku cahaya, pendengaranku cahaya, kananku cahaya, kiriku cahaya, atasku cahaya, bawahku cahaya, hadapanku cahaya, belakangku cahaya, dan jadikanlah bagi diriku keseluruhannya cahaya."

Pernahkah kita terfikir...
Bagaimana bumi tanpa terbitnya matahari?
'Ala... takpelah... kan ada lampu...'

Kalau tiada lampu?
'Manciskan ada... Nyalakan jelah api...'

Bagaimana kalau tiada matahari, tiada lampu, tiada api dan tiada segala sumber untuk menghidupkan api?
'Err... Bulan??'

Apa jua alasan kita, hakikatnya manusia memerlukan cahaya untuk hidup.
Begitu jugalah dengan rohani kita...

Bayangkan sekiranya kita berada di dalam tandas...
Belum sempurna hajat, tiba-tiba, lampu dipadamkan.
Bagaimana keadaan diri kita ketika itu?
Selesa? 
Tidak tentu arah kita mencari paip untuk membersihkan diri...
(sesetengahnya menjerit membayangkan sesuatu...)

Ini adalah dunia...
Kalau takut di dalam tandas, boleh buka pintu dan keluar...
Akhirat rasa-rasanya boleh atau tidak buat benda yang sama?


Cuba bayangkan sekiranya kita berada di dalam kubur...
Sudahlah gelap, dikambus pula dengan tanah...
Takut macam manapun, boleh keluar tak?
Cuba minta kat malaikat maut:
'Aku tak kisahpun kalau kau nak amik nyawa aku sekarang. Tapi lepas dua hari nanti, bagi balik ye nyawa aku. Aku bagi pinjam je tu.'

Bilamana seorang anak adam itu selesai ditanya dan baik pula jawapan yang diberikan, ditayangkan gambaran syurga padanya. Asyiknya gambaran tersebut ibarat menonton sesuatu yang sangat disukainya hingga melupakan perkara yang lainnya. Lama masanya tidak dirasai seperti seorang yang kehabisan waktu pada malam pertamanya.

Tetapi persoalannya, di mana kedudukan kita di sana nanti?
Apakah cukup cahaya kita buat menempah sesuatu yang indah di sana?
Atau apakah kita hanya sekadar bertawakal kepadaNYA? 

Konsep tawakal yang diajar oleh baginda nabi saw ialah kamu menanam benih dan mengusahakannya menurut cara orang bercucuk tanam dan kemudian bertawakal kepada Allah.

Takpelah...
Tak dapat cahaya yang terang pun takpe...
Malappun ok...
Kuburpun bukannya besar sangat...

Cuba lihat muka kita dalam cahaya yang malap...
Cantik x?
Ala...
Cantik apa...
Jerawat pun tak berapa nampak...

Selepas tu, bandingkan pula dekat cahaya yang terang-benderang...
Macam mana?
Fuh...
Cantik jugak aku ni...
Macam artis...

Hebat manusia dalam mencipta alasan, tetapi lebih hebat lagi Allah dalam mengatur urusan.
Satu perkara yang perlu kita sedar...
Mulut yang kita gunakan pada hari ini untuk mencipta alasan, tidak mampu berdecit sedikitpun di hari kebangkitan kelak.
Pada hari (kebangkitan) ini  Kami tutup mulut mereka. Dan berkatalah tangan-tangan mereka dan memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang telah mereka usahakan (di dunia)[Yasin:65].

Bagaimana caranya untuk mendapatkan cahaya?
Adakah sesukar mencipta sebuah lampu suluh?

Wahai diri yang cinta akan dunia!
Janganlah berkira-kira untuk urusan akhirat...
Bukankah telah diajar kira-kira kepada kamu?
Bandingkanlah antara keduanya (dunia dan akhirat)...
Yang mana kekal dan lebih ganjarannya...
Jangan sampai digolongkan kamu...
Dalam golongan... 
Ahli hisab yang tak pandai mengira...

Datangilah masjid...
dan imarahkanlah ...
Kerana ia cahaya di atas cahaya...


Jauhlah masjid...= Motor? kereta ada?
Imam tu baca sengau la...= Masjid lainkan ada...
Penatlah...= Jogging boleh sampai setengah jam...
Bilal tu qomat awal sangat...tak sempat, banyak kerja...= Tengok movie 1 jam setengah sempat je...

Solatlah berjemaah...
Ianya 27 kali lebih baik daripada solat bersendirian...

Bacalah al-Quran...
Kerana satu huruf padanya bersamaan dengan 10 kebaikan...

Banyakkanlah berzikrullah...
Sesunggguhnya ketenangan itu ada padanya...[Ar-Ra'd:28]

Ajaklah manusia kepada kebaikan dan cegahlah mereka daripada melakukan kemungkaran...
Ia adalah tugasan buat umat akhir zaman...
kerana tiada lagi nabi yang akan diutuskan...

Sudah cukuplah alasan yang telah kita cipta selama ini...
Terimalah dengan hati yang redha dan terbuka...
Bahawasanya kepulangan kita di sana memerlukan cahaya yang cukup...
Buat menerangi jalan menuju Allah...

Jadilah seperti kunang-kunang...
Yang sedar akan hakikat kecantikan dirinya yang sebenar...


Kusimpuhkan Rindu Ini

Posted by Abu Abdullah | 6 comments»
Ya Allah...
Jika mereka mengetahui betapa rindunya aku pada diriMu...
Nescaya dipenggal leherku ini...
kerana cemburu...

Sesungguhnya...
Aku masih menunggu...
Kehadiran kekasihMu...
Di dalam mimpiku...
Agar dapat dijadikan dirinya perantara...
Buat diriku dan diriMu...

Sungguh indah ucapan salamnya...
Menerjah ke dalam qalbu...
Sehinggakan terukir senyuman di bibirku...
Berkekalan hingga fajar membangkitkanku...

Ini hanyalah anganku...
Kadangkala berlebih-lebihan...
Tidak menentu...
Jauh sekali dari amalku...

Ketika manusia sibuk bermunajat kepadaMU...
Di tengah malam kesejukan...
Menyatakan rasa cinta kepadaMU...
Aku memilih untuk menutup mataku...

Ketika basah lidah mereka menyebut namaMu...
Fikiranku terbayang-bayang siapakah dia bakal suri hidupku...

Ketika gementar jiwa mereka mendengar ayatMu dibacakan...
Mengulangi dengan penuh khusyu'...
Tidak jemu-jemu...
Ingatanku makin pudar terhadap amanah hafalan yang pernah dianugerahkan...

Ketika mereka mengharapkan pertemuan denganMu...
Aku pula berharap agar ditangguhkan sedikit waktu untukku...
Siapa aku di sisimu Ya Allah?
Pengemis miskin yang meminta untuk dijadikan kaya?
Atau...
Si kaya yang lupa akan tanggungjawabnya?

KepadaMu aku memohon...
Berbekalkan dosa yang bertimbun...
Amalan yang tidak setimpal dengan rahmatMu...
Maksiat yang menggunung...
Hebat aku di mata manusia...
Tetapi hina di pandanganMu...
Lembutkanlah jiwaku...
Ya Latiff...
Sesungguhnya aku amat mencintaiMu...

Jadikanlah rinduku ini...
Disulam dengan bukti yang tersimpan rapi di dalam pengetahuanMu...
Hanya kepadaMu...
Tempat ku menyimpuh rindu....

Tundukkan Pandangan (2)

Posted by Abu Abdullah | 2 comments»
Cerita enam:
'Ya Allah... Mana aku letak ni...,' luahan Mat di dalam hati mencari diarinya yang hilang.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk... Sebaik sahaja pintu tersebut dibuka...'Oh Abu.. Silakan masuk', kata Mat mempelawa sahabatnya masuk.
'Syukran ya akhi... Ini dia diari kamu... Maaf aku telah membacanya tanpa meminta izin dari kamu terlebih dahulu...,' kata Abu.


Bismillahirrahmanirrahim....

21/10/2010

Catatan buat hari ini...
Sebagai persiapan buat keesokan hari...

Tidaklah mata ini benci untuk memandang ke hadapan...
Melainkan kerana penyakit yang sedang dihadapkan...
"حب الدنيا و كراهية الموت" (cinta dunia dan takut mati)

Saban lama aku mencari penawarnya...
Bertanyakan mereka yang mahir padanya...
Pelbagai cara telah kucuba...
pelbagai kesakitan telah kurasa.
Namun tidak juga berhasil kumerawatnya...
Hampir ku putus asa di tengahnya...

Mujur ada Allah sebagai petunjuk...
Diperintahkan kepada baginda untuk menunjuk...
"Katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya; Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat" [An-Nur,30].

Baginda juga bersabda:
"Setiap manusia 'pasti' akan mendapat habuan daripada zina.
Zina mata adalah dengan memandang,
zina lidah adalah dengan bercakap,
zina telinga adalah dengan mendengar,
zina tangan adalah dengan merampas,
zina kaki adalah dengan melangkah,
nafsu itu berangan-angan dan mempunyai syahwat,
dan kemaluan itu membenarkan atau mendustakannya..."

Maksud hadis:
bukanlah 'pasti' itu bermaksud sebagai hujah untuk melakukan maksiat, melainkan dilemparkan syahwat kepada setiap manusia oleh Allah Swt sebagai suatu ujian buat dirinya, untuk menentukan sama ada dia benar-benar beriman atau layak mendapat siksaan.

Kadang-kadang terdetik di dalam diri...
Mengapakah syahwatku begitu hebat sekali...
Sehinggakan sanggup menafikan tuhan tatkala menjamu kepuasan diri...
Namun akhirnya kusedari...
Segalanya di bawah kehendak ilahi....
Untuk sesuatu yang tidak dimarahi...

Pernah baginda nabi saw berpesan kepada saidina Ali ra:
"Wahai Ali!
Janganlah diikuti pandangan yang pertama dengan pandangan yang kedua,
Sesungguhnya yang pertama itu hadiah buat kamu,
tetapi yang kedua itu ada hitungan buatmu..."

Sesungguhnya...
Mata ini penyebab bagi sesuatu yang memasuki hati....
Ibarat kunci bagi pintu...
Tetap berjaya dibuka...
walau dikunci...


Bangunnya aku pada setiap hari...
Membuka peluang untuk kegelapan masuk ke dalam hati...
tidak henti...
walau di mana jua ku pergi...
kerana 'dia' hanya berhenti...
dalam kerdipan yang tidak ku peduli...

Indahnya saat mata bertentang mata,
menikmati kurniaan sang pencipta,
namun akhirnya hati yang merana....


Kata hukamaa:
Bermula dengan pandangan mata,
disusuli dengan senyuman,
kemudian ucapan salam (perkenalan),
diikuti dengan perbualan,
janji diikat.
dan akhirnya terjadilah satu pertemuan....

Ketahuilah...
Tidaklah diri ini berkehendakkan suatu kelebihan...
Melainkan hanya memenuhi tuntutan...
Buat menyelesaikan masalah diri yang berlanjutan...
Mudah-mudahan...
Tiadalah didatangkan...
Zulaikha kedua sebagai teman...

Banyak hikmah yang ku pelajari,
di saat ku menundukkan diri,
mudah-mudahan dikekalkan diri ini,
istiqamah,
dalam perjuangan yang kecil ini....

Jaminan yang cukup bermakna...
dari baginda yang kukasihi selamanya...
"Beri jaminan kepada aku dengan enam perkara,
aku jamin kamu dengan syurga.
Bila berbicara, jangan berdusta.
Bila diberi amanah, jangan khianati.
Bila berjanji, jangan mungkiri.
Tundukkan pandangan...
pelihara tangan...
dan peliharalah kemaluan kamu..."

Indahnya dunia...
Membuatkan diri sentiasa merindukannya...
Namun...
X semuanya dapat kurasa...
kerana ia tidak bersifat kekal selamanya...
Ada hitungan atas kenikmatan yang dirasa...

Harap-harap tidaklah diambil kenikmatan yang kecil ini...
Buat melihat kenikmatan yang lebih besar di sana nanti...

Tundukkan Pandangan (1)

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»

Cerita satu:
Bertanya Abu kepada Mat tentang hal perilaku Mat yang pelik di matanya...
'Mat... Kamu ni kenapa?
jalan asyik duk pandang bawah je?
sakit tengkuk ke?'

Cerita dua:
Abu merasa tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Mat...
Persoalannya hanya dibalas dengan senyuman.
Dibeleknya beberapa buah kitab bagi mengukuhkan hujahnya...
'ha! dapat... Esok aku nak jumpa Mat...

Cerita tiga:
'Mat! Tunggu jap. Ada benda aku nak bagitahu,' sapa Abu kepada Mat.
Tersenyum Mat bilamana melihat kitab yang didakap oleh sahabatnya.
'Silakan,' jawab Mat.
'Kenapakah setiap kali aku melihat kamu berjalan, matamu asyik memandang ke bawah?
Tidakkah Allah SWT itu menciptakan bawah dan dia juga menciptakan hadapan?
Untuk apa diciptakan hadapan sekiranya kamu tidak mahu memandangnya?
Lihat sahaja kisah kaum nabi Musa. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak akan beriman selagi mana mereka tidak melihat Allah dengan mata kepala mereka sendiri. Apa yang berlaku? Dipanahi mereka dengan halilintar hingga mati kesemuanya. Ini disebabkan oleh sikap mereka yang biadab yang menghendaki sesuatu yang telah dilarang oleh Allah kepada mereka. Mereka menghalalkan sesuatu yang diharamkan ya akhi. Begitu juga kamu, jangan mengharamkan sesuatu yang dihalalkan... Allah juga berfirman," sekiranya kamu bersyukur, akan ku tambah nikmat tersebut, tetapi jika kamu kufur, sesunguhnya azabku amatlah pedih [Ibrahim,7]." Aku harap kamu faham,'kata Abu.
Seperti yang sebelumnya... Hanya senyuman yang terukir di bibir Mat.

Cerita empat:
Abu menunggu Mat di tempat biasa.
Kelihatan perilaku pelik tersebut masih dipraktikkan oleh Mat.
'Mat..Mat... Apa nak jadi..', kata Abu di dalam hati.
Pernah berlaku suatu ketika dahulu, ketika sesi taaruf (pengenalan) dalam sebuah program. Bukan sahaja tidak dapat menyebut ramai nama peserta di dalam program tersebut, Mat juga gagal menyebut nama timbalannya sendiri, malahan gagal mengecam muka timbalannya.
'Harap-harap dia berubah...', Abu berbisik sendiri.

Cerita lima:
'Abu, tidaklah aku ini ingin melawan fitrah, melainkan... aku ini berpenyakit,' kata Mat sebaik sahaja melihat riak wajah Abu yang kurang senang dengan sikapnya selama ini pada suatu malam.
'Berpenyakit?,' tanya Abu bimbang.
'Ya,' balas Mat.
Tiba-tiba telefon bimbit Mat berbunyi. Dia terpaksa bergegas ke tempat lain sebaik sahaja menjawab panggilan tersebut.
'Mat...,'kata Abu.
'Insyaallah akan kuterangkan sekiranya berkesempatan. Assalamualaikum...,' jawab Mat meningggalkan Abu yang kebimbangan.

Bersambung...

Pengulangan Yang Tiada Henti

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Ya Allah…
Telah banyak janji yang aku lafazkan...
Untuk tidak mengulangi maksiat yang telah diharamkan...
Namun...
Keinginan nafsu...
Menyebabkan aku lupa siapa diriMU...
Walaupun di saat itu...
Naik dan turun nafasku adalah di bawah genggamanMU...

Tersentuh hati ini bila membaca kitab Tanbihul ghafilin (peringatan bagi mereka yang lalai).
Sampai sahaja ke laman yang ke berapa entah, hati ini terasa sayu dan hiba... 
Setiap kali diberi peluang untuk ber’tazkirah’ (walaupun tidak layak), dalil yang paling kerap aku gunakan ialah:

"Orang-orang yang kufur dengan ayat-ayatKu, kelak akan Ku rendamkan mereka di dalam api neraka... Tatkala terbakar hangus kulit mereka, Ku gantikan kulit tersebut dengan kulit yang lain, untuk mereka merasakan betapa peritnya azab, sesungguhnya Allah adalah maha perkasa lagi maha bijaksana..."[Annisa’, 56]. 

Untuk siapa sebenarnya tazkirah tersebut disampaikan? 
Adakah semata-mata untuk mereka yang berada di hadapanku sahaja? @ untuk diriku jua? 
Ya ابا عبدالله... 
Kata-kata yang keluar daripada mulut seorang yang pendusta, amat sukar untuk dipercayai... 
Kamu banyak bercakap dan mengharapkan perubahan orang lain, tetapi kamu sendiri tidak berusaha ke arahnya dan keyakinanmu hanyalah di bibir, hilang bersama percikan air yang keluar dari mulut...

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, pada suatu hari telah datang Jibril bertemu dengan Rasulullah saw dalam keadaan wajahnya berlainan, tidak seperti kebiasaannya... Rasulullah saw bertanya kepada Jibril tentang perubahannya... Jibril menjawab,’Aku datang bertemu dengan mu pada hari ini, di saat Allah swt memerintahkan agar disemarakkan nyalaan api neraka... Demi Allah! Tidak layak bagi mereka yang meyakini kebenaran azab neraka, seksa kubur dan kedahsyatan balasan Allah berasa aman sebelum mereka terlepas daripadanya… Wahai Rasulullah… Andaikata terdapat kebocoran kecil pada api neraka, nescaya terbakar hangus seluruh penduduk bumi kerana kepanasannya. Jika ahli neraka disiksa di sebelah timur, penduduk di sebelah barat juga turut merasakan kedahsyatan azab yang diterima oleh ahli neraka tersebut…. Kepanasan yang ditanggung hanya dapat dirasai oleh penghuninya... Andaikata diletakkan rantai yang mengikat ahli-ahli neraka di atas sebuah gunung, nescaya akan terbenamlah rantai tersebut hingga ke dasar bumi yang ketujuh.

Menurut satu riwayat, malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk menyeksa ahli-ahli neraka ialah terdiri daripada malaikat yang buta, pekak dan bisu. Mereka menyeksa ahli neraka dengan siksaan yang keras, tiada belas kasihan. Matanya tidak mampu melihat betapa beratnya siksaan terhadap orang yang disiksa, telinganya tidak mampu mendengar jeritan si pendosa, dan lidahnya tidak mampu berkata bagi menenangkan jiwa yang cukup merana.


Pernah suatu ketika, Jibril as diperintahkan oleh Allah swt untuk melakukan tinjauan ke dalam syurga dan neraka. Tinjauan pertama; syurga. Sebaik sahaja keluar daripada syurga, Jibril berkata, ‘Demi Allah! Tidaklah bagi mereka yang pernah mendengar mengenainya melainkan berkehendak untuk memasukinya.’ ‘Wahai Jibril masuklah kamu ke dalamnya sekali lagi,‘ perintah Allah swt. Keluar sahaja Jibril daripada syurga, dia berkata,’Ya Allah! Aku khuatir tiada seorang pun yang layak untuk memasukinya.’
Tinjauan kedua; neraka. Sebaik sahaja keluar daripada neraka, Jibril berkata, ‘tidaklah bagi mereka yang pernah mendengar mengenainya melainkan tidak ingin memasukinya.’ ‘Wahai Jibril masuklah kamu kedalamnya sekali lagi,‘ perintah Allah swt. Keluar sahaja Jibril dari neraka, dia berkata, ‘Ya Allah! Aku khuatir tiada seorang pun yang terlepas daripada memasukinya.’

Beberapa laman daripada buku tersebut telah ku terokai. Fuh… Lega rasanya… Harap-harap aku bukan sekadar membacanya… Tapi… apa jaminan aku terhadapnya? Bagaimana jika aku masih mengulanginya? Adakah alasan bahawa aku ini manusia biasa yang memiliki nafsu yang x puas-puas masih boleh diterima? Jawapannya akan ku ketahui apabila aku mati nanti... Tapi sebelum aku pergi lebih jauh, adakah aku sanggup tanggung risiko ni? Kalaulah alasan tadi diterima, ALHAMDULILLAH sangat2... kalau tidak? Adakah peluang untuk aku kembali ke dunia ini untuk membetulkan segala kesilapan yang telah aku lakukan? 

Firman Allah Taala: "(Demikian keadaan orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, 'Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat kebajikan yang aku tinggalkan.' Sekali-kali tidak (bagi mereka untuk kembali ke dunia)," [Al-Mukminun, 99-100].

Aku mengetahui dan mengerti semua perkara tersebut... 
Tapi apa sebenarnya yang menghalang aku daripada mentaati perintah dan menjauhi segala laranganNya? 
Adakah punca tersebut juga telah diketahui oleh aku? Kalau benarlah perkara tersebut telah diketahui oleh ku, apakah tindakan yang telah aku lakukan? Kenapa tiada apa-apa perubahan terhadap diriku?
Jelaslah... bahawa aku hanya berserah kepadaNya tanpa melakukan apa-apa usaha..


Ramai manusia terlupa dengan keindahan syurga kerana kecantikan dunia yang sementara dan x kurang juga yang lupa dengan kedahsyatan neraka kerana sedikit kesusahan di dunia. 
Lelaki dengan hal wanitanya, si miskin dengan impian kayanya, si alim dengan hal dunianya, masing-masing dengan pelbagai kesibukan yang sengaja disibukkan...

Perbuatan salah akan dianggap sebagai perbuatan harus jika ia kerap dilakukan....
Hanya orang-orang yang mempunyai mata hati; meyakini segala kekuasaan dan kekuatan yang dimiliki oleh Allah swt, yang dapat merasai kedahsyatan dan keperitan azab api neraka.

*Perkara yang sama sering ku ulangi…. lagi dan lagi... harap-harap tidak sampai saat ku mati...

Muqaddimah

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Segala puji bagi Allah swt, tuhan pemilik segala nikmat serta selawat dan salam buat junjungan besar yang dikasihi, Muhammad saw. Mudah-mudahan diterima segala amalan hamba yang lemah ini dan dicampakkan rasa cinta yang mendalam kepadaNYA…

Bagaimana keadaan hati saya pada hari ini?

Sihat @ berpenyakit?

Persoalan ini adalah persoalan yang besar, yang perlu ditanyakan berulang kali.
Ibaratnya  saya (seorang tabib) bertanyakan soalan yang sama kepada seorang raja,
“Bagaimana keadaan kesihatan tuanku pada hari ini?”.
Sihatnya raja tersebut menjamin kehidupan saya sebagai seorang tabib tetapi geringnya ‘baginda’ meletakkan saya sebagai tertuduh yang gagal menyembuhkan si raja.

Nabi saw bersabda:
"Di dalam diri manusia ada seketul daging; apabila baik ia maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila rosak ia maka rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah bahawasanya ia adalah hati.”

Saya pada hari ini mungkin kurang mengambil berat soal hati. Seolah-olah tiada kepentingan untuk mengambil berat terhadapnya.
Ibaratnya begini... Mati adalah sesuatu yang diyakini pasti akan kehadirannya. Ini kerana jelas kelihatan di mata saya, kematian itu berlaku pada setiap yang bernyawa. Tetapi kehidupan selepasnya (mati) adalah sesuatu yang masih lagi ada keraguannya.
Bukan tidak percaya, tetapi keyakinan terhadapnya masih boleh diragui.
Sekiranya kuat keyakinan yang saya miliki, mana mungkin saya berani melakukan maksiat terhadap Allah swt.

Lemahnya manusia… Walaupun didatangkan dengan tanda-tanda yang banyak, tetapi masih lagi ada  keraguan dirinya terhadap Allah swt.

Kesimpulannya, hati adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Oleh yang demikian, perhatian yang lebih sepatutnya diberikan terhadapnya. Sekiranya kesihatan tubuh badan yang zahir ini mampu dijaga dengan rapi, dibawa ke hospital bila berpenyakit, masakan tidak hati ini tidak dijaga sebegitu rupa?
Sesungguhnya hati adalah tempat pandangan Allah swt terhadap seorang hamba.

Sabda nabi saw:
"Sesungguhnya seorang hamba apabila ia melakukan satu kesalahan maka akan digoreskan di dalam hatinya satu titik hitam.
Maka apabila ia menarik diri (dari kemaksiatan itu) dan terus beristighfar dan bertaubat( kepada Allah), hatinya akan kembali suci bersih.
Tetapi apabila ia kembali melakukan kesalahan tersebut, maka titik hitam itu akan bertambah (di dalam hatinya) sehingga sampailah titik hitam itu memenuhi segala permukaan hatinya…."

Mudah-mudahan ditetapkan hati ini di jalanNYA...
يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك و على طاعتك