Lupakan sahaja akhirat...

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Bilamana hati dipandu dengan akal semata-mata...
Dikhuatiri akan terbitlah luahan-luahan yang tidak sepatutnya...


Lupakan sahaja akhirat...
Menyusahkan...
Sudahlah tidak nampak di mata...
Ditakut-takutkan pula dengan neraka...

Alah... Setakat syurga...
Kat dunia pun ada...
Nak hiburan?
Berlambak dekat kelab malam...
Nak makanan yang sedap-sedap?
Pergi sahaja restoran yang berbintang-bintang...
Nak melepaskan syahwat?
Rumah-rumah urut, pusat-pusat pelacuran bersedia memberi khidmat terbaik untuk pelanggannya...

Apalah ustaz ni...
Sibuk nak bercakap pasal agama...
Tak ke mana pun perbincangan kita ni...
Asyik-asyik solat, asyik-asyik solat...
Bernanah dah telinga ni dengar...
Tak habis-habis...
Ustaz ingat dengan solat tu boleh hasilkan bijih timah ke?
Daripada saya solat, baik saya baca buku...
Tak dapat duit sekarang pun, boleh jamin kerjaya saya pada masa depan...
Dah-dah...
Mesti ustaz nak cakap yang solat tu adalah amalan pertama yang akan ditanya di dalam quburkan?
Takpalah ustaz...
Saya ni muda lagi...
Belum sampai masa saya mati lagi...
Nanti dah tua-tua sikit nanti saya solat la...
Orang sekarang boleh belilah ustaz...
Kalau setakat malaikat tu...
Nanti saya bagi diorang ni RM 100,000 sorang...

Kalau ditakdirkan saya masuk neraka pun ustaz...
Saya tak kisahlah...
Kawan-kawan saya pun semuanya lebih kurang macam saya je...
Tak takutlah ustaz...
Banyak geng...
kalau nak kiralah ustaz, banyak kami lagi rasanya daripada malaikat dalam neraka tu...
Silap-silap haribulan kami yang bantai malaikat-malaikat dalam neraka tu...

Ustaz tak payah dah cakap pasal hukum-hukum agama...
Buat tu tak boleh, buat ni tak boleh...
Malahan ditambah pulak dengan hukuman yang dahsyat-dahsyat...
Hudud, qisas, entah apa-apa entah...
Meluatlah saya ustaz...
Kita sekarang ni dah moden la ustaz...
Quran tu bila datang?
Zaman nabi Muhammad ustaz...
Zaman dulu Nabi naik unta...
Kita sekarang dah naik kereta...
Mana boleh kita bawa kereta macam kita tunggang unta...
Jahanam kereta tu ustaz...
 
Pandulah hati dengan syariat...
Mudah-mudahan selamat dunia akhirat...
Siapa bagitahu kat awak yang kenikmatan syurga boleh dirasai di dunia?
Al-Quran? Hadis? atau sekadar melalui akal pemikiran yang terbatas?
Andai kata ianya sama, untuk apa Allah ciptakan alam dunia dan akhirat?
Adakah Allah menciptakan sesuatu yang sia-sia?
Maha suci Allah daripada melakukan perkara yang sia-sia...{Ali Imran:191}
[Tidaklah sama nilai sebiji guli dengan sebutir permata]

Bukankah setiap yang bernyawa itu pasti akan mati?
Untuk apa dimatikan sekiranya dunia inilah yang terbaik buat manusia?
Sesungguhnya kehidupan ini adalah sebagai ujian buat manusia...{Al-Mulk:2}

Sekiranya tiada kematian dan hari pembalasan...
Macam mana dengan keadaan orang yang dizalimi?
Adakah tiada pembelaan buat diri mereka?
Rakyat yang ditindas...
Orang-orang yang difitnah dengan perkara yang mengaibkan...
Banduan-banduan yang dipenjara dan diseksa tanpa sebab...
Gadis-gadis yang dirogol...
Bayi-bayi yang dibunuh dan dibuang di dalam tong sampah...
dan pelbagai lagi kezaliman-kezaliman yang lain...
[Kezaliman itu sukar untuk dikenalpasti selagi ianya belum terkena pada batang tubuh sendiri]
Andai kata dunia itu sama seperti akhirat,
Tiadalah kenikmatan yang sempurna buat mereka yang beriman di dunia...
Nabi saw bersabda, "Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga buat orang yang kafir"...
Dalam sabdaannya yang lain:
"Seandainya dunia ini bernilai seperti sebelah sayap nyamuk, nescaya tidak diberi minum kepada orang kafir walau seteguk air."
Tiadalah Nabi saw itu berdusta sama sekali.

Tidakkah kamu pernah terfikir...
Manusia itu sama sekali tidak mampu menolak kehendak tuhanNYA?
Lihat sahaja pada mereka-mereka  yang sudah tua...
Adakah mereka ingin kedutan yang ada di wajah mereka?
Kelemahan yang berlaku pada anggota tubuh badan mereka?
Tidak sama sekali...
Tetapi itulah kehendak tuhan yang sama sekali tidak mampu manusia menolaknya...
Solat, hudud, qisas adalah perintah yang terkandung di dalam al-Quran...
Selain itu terdapat perintah-perintah yang lain...
Semuanya adalah untuk kebaikan manusia...
Merangkumi segala proses dan perjalanan kehidupan sepanjang berada di dunia...

Alangkah ruginya diri...
Sekiranya mengkhianati perintah Sang Pencipta dan Empunya diri...
Dek kerana kerakusan yang tidak pernah memerhati...
Bahawa segalanya akan diperhitungkan nanti...

1 comments:

Nur Mohamad Adli Bin Rosli Says:

"Seandainya dunia ini bernilai di sisi Allah sekecil sebelah kepak nyamuk,nescaya tidak dikurnia habuan dunia pada mereka yang kufur walaupun seteguk air"...

*tiadalah wawasan yg terlebih terkehadapan dan membawa manfaat melainkan wawasan menuju kebaikan di akhirat

Catat Ulasan