Pesanan guru al-Quran...

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»

Selepas tamat kelas al-quran semalam, rabu, 30/11/2011, guru al-Quran saya, ustaz Abdul Wahab menyampaikan beberapa pesanan:

Untuk mengetahui dengan betul sebutan makhraj dan seni suara al-Quran, kamu hendaklah melazimkan diri mendengar bacaan daripada orang-orang yang mahir membacanya. Di Ghana, dalam seminggu, sehari akan diperuntukkan khas untuk mendengar rakaman bacaan daripada syeikh-syeikh yang besar. Tiada hafalan pada hari tersebut. Di situ, para pelajar dapat mempelajari bacaan al-Quran dari sudut makhraj, seni suara dan lain-lain.

Majoriti pelajarnya dapat membaca al-Quran sama seperti syeikh-syeikh yang besar seperti Sudais, Misyari, Hudzaifi, Basfar, Basit dan Matrud. Solat di belakang mereka, seolah-olah sama seperti solat di belakang syeikh-syeikh tersebut.

Di sana, kami bangun seawal jam 4 pagi dan berehat pada jam 9 malam, seterusnya meneruskan hafalan al-Quran kadang-kadang sampai ke pagi keesokan harinya.

Al-Quran dan muzik adalah dua benda yang berlainan. Hati manusia tidak dapat menerima kedua-duanya pada masa yang sama. Lazimnya orang yang suka mendengar muzik, hatinya gundah bila mendengar bacaan al-quran.
Sentiasalah melazimi mendengar bacaan al-quran, kelak ia akan sebati dengan dirimu dan kamu akan mencintainya dan membenci muzik secara semula jadi.

Al-quran akan menyebabkan kawan yang bising menjadi senyap dan ketenangan akan muncul.
Dahulu ketika saya undergraduate, roomate saya tak pernah memasang muzik kerana dia tahu saya tidak menyukainya, dan sekiranya mereka mendengarnya sekalipun, sebaik sahaja saya membuka pintu bilik, mereka akan menutupnya.

Sentiasalah mendengar bacaan al-quran dan cuba memahami maknanya.
Pengulangan itu (mendengar al-Quran) akan menyebabkan kita mengingati dan memahami maknanya. Bayangkan bagaimana keadaan hidup kita jika sentiasa diperingatkan dengan al-Quran...
Pengulangan menyebabkan kita mampu menguasai kemahiran tajwid dan mencantikkan bacaan.

Sentiasa mendengar bacaan al-Quran menyebabkan kita mengulang secara tidak langsung, dan ia menguatkan ingatan.

Saya tidak suka makan di cafe. Apa yang saya lakukan pada setiap hari ialah saya akan bungkus makanan saya dan akan makan di bilik. Di sana saya akan memasang al-Quran dan makan sambil mendengarnya. Setiap kali saya berada di dalam bilik, saya akan sentiasa memasang al-Quran. Masa yang kita ada sebagai seorang pelajar di universiti tidak sama dengan pelajar yang berada di madrasah tahfiz. Mereka di sana memperuntukkan sepenuh masa untuk al-Quran. Apa yang perlu kita lakukan ialah mengisi masa yang terluang dengan al-Quran.

Ramai orang membaca buku sambil mendengar muzik. Kadang-kadang dia juga ikut menyanyi pada masa yang sama. Cubalah kamu membaca buku sambil mendengar al-quran. Permulaannya susah, tetapi bila ianya sudah sebati, ada kelebihan bagi diri kamu di situ. Kamu mendapat kefahaman dalam pembacaan, di samping mengulang al-quran pada masa yang sama.




Wanita Solehah

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Sabda Nabi Saw:
"Dunia itu dipenuhi dengan kesenangan dan sebaik-baik kesenangan itu adalah wanita yang solehah."

Saya tidak tahu bagaimanakah ungkapan yang selayaknya diberikan kepada wanita yang solehah. Wanita yang bila terpandang padanya, tergambar dosa-dosa diri yang mampu menyebabkan mengalirnya air mata tanpa dipaksa. Wanita yang amat cinta pada agamanya, sehingga zahirnya itu sudah cukup menggambarkan islam yang terdapat dalam dirinya. Wanita yang sanggup berpenat-lelah dalam perjuangan demi menegakkan islam kerana kasih akan tuhannya.

Di dalam al-Quran [al-Waqiah:23] Allah Swt telah menggunakan istilah 'Lukluul Maknun' (permata yang tersimpan baik) bagi memberi perumpamaan kepada bidadari-bidadari syurga. Perumpamaan ini diberikan khas sebagai janji Allah buat rijal (lelaki) yang mendapat keredhaan Allah SWT di hari akhirat kelak. Mudah-mudahan inilah ungkapan yang sesuai buat wanita solehah yang dicintai Allah.

Permata merupakan suatu hiasan dunia yang Allah jadikan buat manusia dan ditanamkan juga rasa cinta dan minat manusia terhadap dirinya.  Istilah yang Allah SWT gunakan ini adalah bukan sekadar menggambarkan keindahan semata-mata tetapi keindahan yang dipelihara. Sesuatu yang bersifat indah, tidak akan kekal indah sekiranya tidak dipelihara dengan baik. Ibarat memakai pakaian yang cantik, hilanglah serinya jika ia tidak dibasuh.

Wahai 'Luklual Maknun'... Sesungguhnya kamu adalah ciptaan Allah yang sangat indah. Kehadiran dirimu sangat dirasai oleh lawan bagi dirimu. Fahamilah islam, tanamkan rasa cinta terhadapnya dan tegakkanlah ia di dalam dirimu dan sekelilingmu.

Pakaian yang menyarung dirimu itu bersih, jangan kotorkan ia dengan fitnah kepura-puraan... 
Anggota badanmu itu sempurna, jangan cacatkan ia dengan pendedahan yang diharamkan... 
Tutur katamu itu lembut, jangan kasarkan ia dengan tuturan yang menghidupkan jiwa yang gersang...

Hakikat dirimu adalah sentiasa diburu...
Maka berhati-hatilah dalam menentukan tempat jatuhmu...
Kerana ia adalah sebagai penentu...
Corakan kehidupan yang bakal berlaku...



Sekilas Pandang Bersih 2.0 (2)

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
[Keberanian seorang pakcik cina berhadapan dengan polis]
Jangan sesekali bersikap zalim...
Ingat seribu kali ingat. Jangan sesekali anda menzalimi rakyat jelata, sebab yang demikian itu akan menarik kepada kecelakaan duniamu dan akhiratmu. Sebagaimana dilarang anda menzalimi rakyat jelata anda sendiri, maka samalah juga dilarang anda membiarkan sebahagian rakyat menzalimi sebahagian yang lain. Begitu pula dilarang anda mengabaikan segala urusan mereka, tiada memandang  dan meneliti keadaan hidup mereka.

Sabda Nabi saw:
"Ya Allah! Ya Tuhanku! Barangsiapa yang mengurus sesuatu urusan umatku lalu ia menyusahkan mereka, maka balaslah ia dengan kesusahan. Dan barangsiapa yang memudahkan, mudahkanlah urusannya."
"Tiada seorang pembesar yang mati sedang ia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan Allah akan mengharamkannya memasuki syurga."

Berkata Saiyidina 'Umar al-Khattab ra:
"Sekiranya seekor anak kambing mati di tepi sungai furat (di Iraq) dengan sia-sia, aku khuatir aku akan disoal mengenainya."
Ini baru ana kambing, betapa pula dengan orang yang mensia-siakan anak-anak yatim, janda-janda miskin, fakir dan miskin serta orang-orang yang tidak berdaya dari kaum muslimin? 

*Dipetik daripada kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman, Imam Abdullah al-Haddad

Sekilas Pandang Bersih 2.0 (1)

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
 
Jangan bencikan yang benar....
Seseorang yang ditegur agar membuat baik dan menjauhi kemungkaran, hendaklah memelihara dirinya dari bersifat takabbur (sombong), angkuh dan menolak kebenaran ataupun berkata kepada orang yang menyuruh dan melarang, "Jaga dirimu sendiri!" Ataupun mengucapkan sesuatu percakapan yang menunjukkan maksud benci kepada kebenaran, kerana dikhuatiri akan ditimpa kutukan dan kemurkaan Allah taala ke atas orang yang mengucapkan percakapan itu, maka jadilah halnya seperti orang yang dimaksudkan oleh firman Allah taala:
"Apabila dikatakan kepadanya, 'Bertakwalah kepada Allah,' maka kesombongannya telah menariknya kepada dosa. Memadailah balasan untuknya neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal." [al-Baqarah:206]

Adapun orang yang menyuruh berbuat baik dan menunggalkan yang jahat itu tiada menanggung apa-apa lagi setelah menunaikan tugasnya. Jika ia ditentang atau disakiti oleh sebab nasihatnya tadi, maka ia akan memperoleh ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih banyak. Oleh itu hendaklah ia bersabar dan tiada bersungut.

*Dipetik daripada kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman, Imam Abdullah al-Haddad

Kebersihan Adalah Sebahagian Daripada Iman

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Teringat kembali pengalaman menjadi AJK kebersihan di sekolah menengah dahulu...
Pengalaman yang indah, yang insyaallah cukup baik sekiranya dapat dikongsikan bersama.
Setiap bulan akan diadakan pertandingan kebersihan kelas. Tiga kelas yang terbersih akan diberikan hadiah manakala tiga kelas yang terkotor pula akan diumumkan namanya ketika 'tobor' (perhimpunan). Guru-guru asyik memberikan kata-kata perangsang yang menikam jiwa, "Janganlah malukan guru kelas awak semua."
Tiada seorang guru pun yang mampu berdiam diri sekiranya kelas yang dihadiri tidak bersih. Pembelajaran akan ditangguhkan seketika semata-mata untuk memberi ruang membersihkan kelas.
 
Setiap kali menjalankan tugas, diri ini sering terfikir, bagaimana mungkin manusia itu mampu hidup dalam persekitaran yang kotor?
Bau taik kucing depan rumah pun dah menyumpah-seranah jiran sebelah, apatah lagi kalau benda tu bertepek atas sofa rumah...
Terima kasih kepada abang-abang yang menjalankan tugas sebagai majlis pembandaran.

Kebersihan itu boleh disifatkan sebagai sesuatu yang mempunyai haknya yang tersendiri terhadap setiap perkara yang dikenakan ke atasnya.
Sebagai contoh:
Kebersihan tempat tinggal adalah pada kekemasan,
Kebersihan harta adalah pada zakat,
kebersihan diri adalah pada keikhlasan,
Kebersihan undang-undang adalah pada syariat yang telah ditetapkan,
kebersihan negara adalah pada pemimpin yang amanah...

Secara fitrahnya, manusia itu cinta kepada kebersihan. Lahirnya bersih (hati) dan kembalinya juga begitu (jasad).
Selalunya perkataan kotor ini akan dikaitkan dengan perkara yang tidak baik. Manakala perkataan bersih pula dikaitkan dengan perkara yang baik.
Sebagai contoh, otak kotor merujuk kepada pemikiran yang menjurus kepada sesuatu yang tidak bermoral dan muka bersih merujuk kepada muka yang bebas daripada jerawat dan bintik-bintik hitam.
 
Cuma kebelakangan ni kedengaran sesuatu yang lari daripada kebiasaan.
"BERSIH" adalah haram!
Aik? Biar betul?
Tiba-tiba terdengar seorang pakcik mengusik, "Nak masuk KL nanti jangan pakai baju bersih, pakai baju kotor. Kalau tak kena tangkap nanti..."
Bukan sahaja bersih, kuning juga menjadi mangsa keadaan...
Pemerhati meramalkan:
1) Tiada lagi maskod DIGI
2) Tiada lagi simbol keagungan sultan yang tinggal (simbol agama sudah tenggelam, kini warnanya pula semakin pudar)
3) Warna lampu isyarat berkurangan kepada dua (hijau dan merah); warna biru boleh dipertimbangkan sebagai pengganti yang bakal hilang
4) Kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat (penukaran lampu kuning kenderaan dan jalan kepada putih)
5) Kelip-kelip hanya akan dapat dilihat di dalam zoo (semakin pupus ekoran penangkapan besar-besaran yang akan dijalankan)

Apa sebenarnya yang dituntut oleh perhimpunan bersih, sehingga menyebabkan:
Kerajaan persekutuan melarang melakukan perhimpunan di jalanan dan meminta untuk mengadakannya di stadium tetapi selepas itu melarangnya pula...
PATRIOT membantah untuk mengadakan BERSIH di stadium merdeka kerana di sanalah tempat suci rakyat Malaysia melaungkan kemerdekaan (konsert tak apa)...
Pihak polis bersemangat membuat sekatan jalan raya ke pusat bandar(dulu kata BERSIH menyebabkan pemandu teksi, kedai rugi... Mungkin bila tak ada orang datang, mereka akan dapat untung)...

Tidak banyak yang dituntut oleh perhimpunan BERSIH melainkan pilihan raya yang adil dan bersih. Sekiranya pilihan raya sebelum ini telah adil dan bersih seperti mana yang didakwa oleh pihak kerajaan, apa salahnya sekiranya menerima cadangan pihak BERSIH untuk  menjadikannya lebih adil dan bersih. 
Sesungguhnya keadilan itu terbukti bilamana ia dilaksanakan bukan hanya sekadar diperkatakan.
Antara tuntutan mereka ialah:
1. BERSIHKAN  SENARAI UNDI
2. MENREFORMASI UNDI POS
3. GUNA DAKWAT KEKAL
4. MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI
5. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL
6. KUKOHKAN INSTITUSI AWAM
7. HENTIKAN RASUAH
8. HENTIKAN POLITIK KOTOR

Sepatutnya kerajaan perlu bersyukur kerana rakyat Malaysia adalah rakyat yang cintakan keadilan.
Janganlah ditutup kecintaan tersebut dengan menanamkan kebencian kepadanya.
Ibarat mengajar si singa beperangai pelanduk. Suatu hari ia akan sedar akan tajamnya taring yang ia miliki...

Firman Allah swt:
"Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali
kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan
."[al-Maidah:8]

Sabda Nabi saw:
"Antara pergelangan iman yang amat teguh ialah mencintai sesuatu kerana Allah dan membenci sesuatu kerana Allah."
 
Mudah-mudahan ditanamkan di dalam kita semua perasaan cinta akan keadilan, kerana Allah swt itu bersifat adil kepada makhluk ciptaannya...
Wallahua'alam.

Antara Kecintaan dan Kebencian

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Saya sering terfikir...
Kenapa orang lain boleh jadi baik, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh jaga pandangan, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh membaca al-quran dengan penuh rasa kecintaan, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain mampu bangun bersujud dan merintih di malam hari, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain mampu untuk khusyu' dalam solat, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh berzikir dengan penuh rasa kelazatan, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh bersungguh menuntut ilmu agama, sedangkan saya tidak?
Kenapa orang lain boleh merasai manisnya iman, sedangkan saya tidak?

Hari-hari yang saya lalui dipenuhi dengan persoalan yang membunuh jiwa ini...
Saya juga sering merasakan,
"Adakah amalku selama ini tidak diterima?"
Mana taknya, pagi buat taat, petang buat maksiat...
Ibaratnya seperti berjumpa dengan seorang sahabat, mengucap salam tatkala bersua, memaki hamun bila tiada...
Sedangkan Allah taala berfirman:
"Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar." [Al-Ankabut:45]
Kenapa agaknya solat saya tidak dapat mencegah saya daripada melakukan perbuatan mungkar?
Teorinya mudah...
Ada sebuah alat penimbang berat...
Tertera di atasnya, INSERT RM2 PER PERSON, 50$ COIN ONLY x 4...
Saya pun keluarkan 2 keping RM 1 dan masukkan ke dalam mesin tersebut...
Setelah setengah jam berdiri di atas penimbang tersebut, tiada bacaan yang keluar...
Setelah sekian lama memikirkan...
Akhirnya baru saya sedar...
Namanya sama, duit... Tetapi jenis duit yang diminta itu tidak sama dengan duit yang dikeluarkan...
Begitulah juga solat... Apa yang dilakukan itu sama namanya, solat... Tetapi jenis solat yang diminta itu tidak sama sepertimana yang saya laksanakan...
Serupalah juga dengan sedeqah, puasa, dan amal ibadah yang lain...

Kenapa susah untuk saya jaga pandangan?
Bukankah telah diperintahkan Allah untuk saya menjaga pandangan?
"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, 'Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." [An-Nur:30]
Saya sedar dan faham tentang ayat ini...
Tetapi perasaan untuk mengkhianati perintah ini sentiasa membuak-buak di dalam hati...
Sesungguhnya nafsu itu sekiranya dimanja, ia akan menjadi tuan, dan sekiranya dikawal, ia akan kembali kepada tuhanNYA...
Ada sebuah perumpamaan buat nafsu (saya tidak ingat siapa yang mengucapkannya), "Nafsu itu ibarat kawanan kambing, sekiranya dikepung di suatu bahagian, ia akan berlari ke bahagian yang lain."
Tutuplah jalan itu dari segenap sudut, menurut kemampuan yang saya miliki...
Nabi saw mengajarkan kepada umatnya untuk berpuasa bagi mengawal hawa nafsu...
Tetapi sesetengah orang mengatakan, "Saya dah puasa dah, tapi tak berkesan pun..."
Pelajarilah erti puasa yang sebenar dan tunaikanlah hak-hak puasa itu sendiri...
Sekiranya berat untuk dilaksanakan, mulakanlah dengan perkara yang mudah.
Contohnya, bila nafsu kata nak makan chicken chop la hari ni, saya pun kata dengan nafsu, "Makan lauk telur pun dah cukup..."

Kenapa payah sangat nak istiqamah dan menghayati bacaan zikir dan alquran?
Bukankah Allah taala ada berfirman, dengan berzikir itu hati menjadi tenang? [Ar-Ra'd]
Daripada mana agaknya datang ketenangan? 
Daripada penghayatan yang mendalam terhadap bacaan yang diluahkan...
Bagaimana pula agaknya datang penghayatan itu?
Daripada mujahadah (susah payah) yang diletakkan kesabaran ke atasnya...
Kalau rasa nak baca satu juzuk atau beratus zikir sehari,
cuba buat kiraan matematik terhadap masa yang saya miliki...
Kalau saya peruntukkan setengah jam sehari, maksudnya masih berbaki 23 jam setengah lagi...
Sikit sangat sebenarnya yang saya peruntukan untuk zikir dan bacaan al-quran saya...
Kalau yang sikit ni pun tak mampu nak buat...
Ieee... Toksah beranganlah nakkan bidadari Allah...

Kenapa rasa malas itu timbul bila bicara bab menuntut ilmu agama?
Berapa buah buku saya habiskan dalam masa sebulan?
Berapa buah kuliah agama yang saya hadiri dalam masa seminggu?
Macam-macam alasan yang saya reka bila diajak pergi mendengar kuliah agama...
Hujanlah, assignment tak siap, esok ada kuiz, dan bermacam-macam lagi...
Mujurlah ada sahabat-sahabat...
Meningkat sedikit semangat yang malap ni...
Bila perhatikan balik...
Ilmu fardhu ain pun tak lepas ni...
Allah ada di mana?
Err...
Berat kalau macam ni...
Sebelum ingatan menjadi lemah, mata menjadi kabur...
Baik saya cepat-cepat belajar....
(Yang paling merisaukan saya ialah golongan pelajar yang mengambil jurusan agama... Andalah tempat rujukan agama pada masa akan datang... Korbankanlah sedikit ego anda untuk menuntut ilmu agama, walaupun ilmu yang diajar itu sekadar cara-cara mengambil wudhuk...)
Kenapa saya masih tidak dapat merasai manisnya iman?
Ini bukan persoalan untuk menentukan yang mana satu lebih manis, gula-gula atau cokelat...
Tetapi ini persoalan, adakah gula-gula dan cokelat itu manis?
Mana perginya deria rasa saya untuk merasai kemanisan iman?
Mata melihat kepada perkara yang bukan-bukan...
Telinga suka mendengar suara yang melalaikan...
Lidah berbicara perkara yang sia-sia...
Aqal jarang sekali memikirkan kebesaran tuhan...
Kesemua deria tersebut telah mempunyai 'kerja' masing-masing...
dan mustahil untuk dihimpunkan dua kerja pada masa yang sama...
Berikanlah pekerjaan asal mereka, perhati dan bertegaslah terhadap mereka...
Nabi saw bersabda:
"Tiga jenis sifat sekiranya ada pada manusia, ia akan merasai kemanisan iman. 1.Menjadikan Allah dan Rasul lebih dicintai daripada segalanya 2.Mencintai seseorang semata-mata kerana Allah 3.Membenci untuk kembali semula kepada kekufuran sepertimana benci untuk dicampakkan ke dalam neraka."

Kenapa susah untuk saya bangkit di tengah malam beribadah kepadaNYA?
Tidakkah saya sedar bahawa saya sangat-sangat memerlukanNYA?
Susah ya nak bangun?
Mana taknya... Setiap hari tidur lewat...
Kalau baca al-Quran ke, buku, bolehlah terima...
Ni... Ish2...
Tidurlah awal sikit... Pasang niat nak bangun esok hari... Insyaallah, Allah akan bantu...
Satu lagi... Kurang-kurangkanlah maksiat di siang hari, dan pertigkatkanlah amal kebaikan...
Insyaallah... Mesti senang nak bangun lepas ni...

Perasaan takut kepada Allah datang dan pergi...
Sedangkan maut itu datang dan tidak sama sekali akan pergi...[An-Nahl:61]
Antara kecintaan dan kebencian...
Ketaatan dan kemaksiatan...
Padanilah mereka dengan sebaiknya...
Kesilapan dalam meletakkannya...
Menatijahkan amal untuk sesuatu yang bukan pada tempatnya...

Lupakan sahaja akhirat...

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Bilamana hati dipandu dengan akal semata-mata...
Dikhuatiri akan terbitlah luahan-luahan yang tidak sepatutnya...


Lupakan sahaja akhirat...
Menyusahkan...
Sudahlah tidak nampak di mata...
Ditakut-takutkan pula dengan neraka...

Alah... Setakat syurga...
Kat dunia pun ada...
Nak hiburan?
Berlambak dekat kelab malam...
Nak makanan yang sedap-sedap?
Pergi sahaja restoran yang berbintang-bintang...
Nak melepaskan syahwat?
Rumah-rumah urut, pusat-pusat pelacuran bersedia memberi khidmat terbaik untuk pelanggannya...

Apalah ustaz ni...
Sibuk nak bercakap pasal agama...
Tak ke mana pun perbincangan kita ni...
Asyik-asyik solat, asyik-asyik solat...
Bernanah dah telinga ni dengar...
Tak habis-habis...
Ustaz ingat dengan solat tu boleh hasilkan bijih timah ke?
Daripada saya solat, baik saya baca buku...
Tak dapat duit sekarang pun, boleh jamin kerjaya saya pada masa depan...
Dah-dah...
Mesti ustaz nak cakap yang solat tu adalah amalan pertama yang akan ditanya di dalam quburkan?
Takpalah ustaz...
Saya ni muda lagi...
Belum sampai masa saya mati lagi...
Nanti dah tua-tua sikit nanti saya solat la...
Orang sekarang boleh belilah ustaz...
Kalau setakat malaikat tu...
Nanti saya bagi diorang ni RM 100,000 sorang...

Kalau ditakdirkan saya masuk neraka pun ustaz...
Saya tak kisahlah...
Kawan-kawan saya pun semuanya lebih kurang macam saya je...
Tak takutlah ustaz...
Banyak geng...
kalau nak kiralah ustaz, banyak kami lagi rasanya daripada malaikat dalam neraka tu...
Silap-silap haribulan kami yang bantai malaikat-malaikat dalam neraka tu...

Ustaz tak payah dah cakap pasal hukum-hukum agama...
Buat tu tak boleh, buat ni tak boleh...
Malahan ditambah pulak dengan hukuman yang dahsyat-dahsyat...
Hudud, qisas, entah apa-apa entah...
Meluatlah saya ustaz...
Kita sekarang ni dah moden la ustaz...
Quran tu bila datang?
Zaman nabi Muhammad ustaz...
Zaman dulu Nabi naik unta...
Kita sekarang dah naik kereta...
Mana boleh kita bawa kereta macam kita tunggang unta...
Jahanam kereta tu ustaz...
 
Pandulah hati dengan syariat...
Mudah-mudahan selamat dunia akhirat...
Siapa bagitahu kat awak yang kenikmatan syurga boleh dirasai di dunia?
Al-Quran? Hadis? atau sekadar melalui akal pemikiran yang terbatas?
Andai kata ianya sama, untuk apa Allah ciptakan alam dunia dan akhirat?
Adakah Allah menciptakan sesuatu yang sia-sia?
Maha suci Allah daripada melakukan perkara yang sia-sia...{Ali Imran:191}
[Tidaklah sama nilai sebiji guli dengan sebutir permata]

Bukankah setiap yang bernyawa itu pasti akan mati?
Untuk apa dimatikan sekiranya dunia inilah yang terbaik buat manusia?
Sesungguhnya kehidupan ini adalah sebagai ujian buat manusia...{Al-Mulk:2}

Sekiranya tiada kematian dan hari pembalasan...
Macam mana dengan keadaan orang yang dizalimi?
Adakah tiada pembelaan buat diri mereka?
Rakyat yang ditindas...
Orang-orang yang difitnah dengan perkara yang mengaibkan...
Banduan-banduan yang dipenjara dan diseksa tanpa sebab...
Gadis-gadis yang dirogol...
Bayi-bayi yang dibunuh dan dibuang di dalam tong sampah...
dan pelbagai lagi kezaliman-kezaliman yang lain...
[Kezaliman itu sukar untuk dikenalpasti selagi ianya belum terkena pada batang tubuh sendiri]
Andai kata dunia itu sama seperti akhirat,
Tiadalah kenikmatan yang sempurna buat mereka yang beriman di dunia...
Nabi saw bersabda, "Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga buat orang yang kafir"...
Dalam sabdaannya yang lain:
"Seandainya dunia ini bernilai seperti sebelah sayap nyamuk, nescaya tidak diberi minum kepada orang kafir walau seteguk air."
Tiadalah Nabi saw itu berdusta sama sekali.

Tidakkah kamu pernah terfikir...
Manusia itu sama sekali tidak mampu menolak kehendak tuhanNYA?
Lihat sahaja pada mereka-mereka  yang sudah tua...
Adakah mereka ingin kedutan yang ada di wajah mereka?
Kelemahan yang berlaku pada anggota tubuh badan mereka?
Tidak sama sekali...
Tetapi itulah kehendak tuhan yang sama sekali tidak mampu manusia menolaknya...
Solat, hudud, qisas adalah perintah yang terkandung di dalam al-Quran...
Selain itu terdapat perintah-perintah yang lain...
Semuanya adalah untuk kebaikan manusia...
Merangkumi segala proses dan perjalanan kehidupan sepanjang berada di dunia...

Alangkah ruginya diri...
Sekiranya mengkhianati perintah Sang Pencipta dan Empunya diri...
Dek kerana kerakusan yang tidak pernah memerhati...
Bahawa segalanya akan diperhitungkan nanti...

Dah boleh kahwin?

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»

Indahnya bahtera perkahwinan yang dilalui oleh Saidina Muhammad saw dan Khadijah ra.
Berteraskan ikatan perkahwinan yang sah dan dimulai dengan keinginan yang benar tanpa ada penyelewengan ditengahnya.
Mudah-mudahan diambil iktibar daripada kisah tersebut dalam diri setiap individu muslim yang inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat…

Sekiranya ditanya pada diri kita semua tentang keinginan untuk mendirikan rumah tangga, spontan jawapan “nak” terkeluar dalam benak perasaan kita.
Tidak kurang juga yang belum sempat ditanya, sudah menyatakan perasaannya dengan bersungguh-sungguh.

Suka saya bertanya pada diri…. 
Bila saya nak kahwin?
Insyaallah…. Lepas sembuh….
Kenapa? Tak sihat ke?
Kurang sihat... Banyak penyakit...
Sakit apa ye?

Tersenyum saya sendiri mendengar persoalan sebegini…
Kenapa bila disebut sahaja soal kahwin, kelihatan terpancar cahaya daripada wajah mereka yang ditanya. 
Seakan-akan mendengar suatu perkhabaran dari langit… 
Perkhabaran dari Tuhan kepada hambaNYA… Pujian yang tiada didapati daripada makhluk biasa…
Kenapa senyum? Kenapa suka? Kenapa gembira? Kenapa ketawa?
Semuanya berkait dengan soal kefahaman….

Bila sebut tentang kahwin, perkara apa yang kebiasaannya dibayangkan? difikirkan? dibincangkan? Berapa banyakkah fokus yang dilibatkan? Tidak lain hanya sedikit dan selebihnya diabaikan seakan-akan tiada terlibat ia dengan perkara yang dibincangkan….. 

Buat diri ini yang lemah….
Persoalan kahwin bukanlah persoalan yang mudah dan main-main. Tiadalah ia sekadar memenuhi kehendak nafsu semata-mata. Ia sangat berkait rapat dengan: 
(1) Kehidupan individu selepas berkahwin 
(2) Generasi yang bakal dilahirkan.

Suka saya bayangkan...  
Andaikata diri saya pada saat ini adalah diri yang sangat teruk, dan dijodohkan pula dengan seorang wanita, siapakah dia wanita tersebut?
Adakah dia seorang wanita yang solehah? 
Baik akhlak luar dan dalamnya?
Menjaga maruahnya sepanjang masa?

Merujuk pada firman Allah SWT:
"(lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik." [24:26]


Tiadalah kerungsingan di hati ini melainkan siapakah dia wanita tersebut…
Lihat khalifah 'Umar, siapa isterinya?
Abu Jahal?
Kelaziman yang Allah tetapkan adalah suatu kelaziman yang pasti. Baik dengan baik, jahat dengan jahat…. Dalam keduanya ada hikmah yang tersembunyi….

Bayangkan seorang yang sangat teruk dan jahat menginginkan sesuatu yang sangat baik dan beharga…
Adakah wajar?
Ibarat si hitam yang inginkan si putih… Dia menyangka dirinya cukup sesuai dengan pilihannya, tetapi tidak sedar bahawa si putih itu buta dan kudung tangannya….

Firman Allah SWT:
"Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara Yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal Yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah Sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira Wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman." [2:223]

Isteri adalah sebagai kebun, suami?
Sebagai pekebunnya….
Saya adalah ibarat seorang pekebun yang malas tetapi bercita-cita berkehendakkan faedah yang banyak daripada kebunnya…
Badan lembik, duit seadanya sahaja, nak beli baja pun x mampu…. Cuma sekadar angan-angan dan usahakan jika ada mood….
Rasa-rasanya... Bagaimanakah keadaan kebun saya?  
(x terurus…)
Bagaimana pula dengan hasilnya?
(ada… tapi.. sedikit dan kurang berkualiti… tiada siapa pun berminat…)
Bagaimana pula dengan faedah-faedah yang diimpikan?
(tolong jawabkan untuk saya…)

Terus kepada fokus yang kedua…
Generasi apa yang mahu saya lahirkan? Pemusnah @ perosak umat? 
Permulaan perkahwinan lagi sudah tidak dibentuk dengan baik, bagaimana pula dengan yang seterusnya? 


Bagaimana nak bina jambatan yang kukuh sekiranya tiangnya rapuh? 
Adakah cukup sekadar menghiasi jambatan tersebut dengan sepanduk-sepanduk dan hiasan-hiasan indah di atasnya? 
Memang ramai yang datang memuji jambatan tersebut, tetapi apa yang mereka dapat ialah terbunuh di bawah runtuhannya… 

Tuan Guru Nik Abd Aziz b Nik Mat pernah berkata, “Tujuan berkahwin ialah untuk meramaikan umat nabi Muhammad SAW.” 
Andaikata definisi ini yang digunakan…. Jenis apakah yang bakal saya hasilkan? Yang menentang @ yang melawan (ISLAM)?  Yang menyusahkan @ yang memeritkan? Mudah-mudahan tidaklah termasuk di kalangan yang disebutkan. 
Tapi itu hanya ‘mudah-mudahan’. Mudah-mudahan yang sangat ‘suka’ disebut tanpa ada usaha yang dibuat….

Pasangan hidup adalah suatu ‘hadiah’ daripada Allah kepada hambaNYA… Hadiah yang sangat bernilai…. Tertakluk kepada tema dan syarat…. 
Adakah saya akan mendapat hadiah yang baik, sekiranya hubungan saya denganNYA tiada dapat dilihat jaraknya? Banyak perintahNYA diabaikan…. LaranganNya bertukar menjadi perintah…. Suruh buat yang ni, saya kata nanti dulu… jangan buat yang ni, saya makin bersemangat nak buat…. Rasa-rasanya bagaimana bentuk hadiah yang mungkin saya dapat?
Allah lebih menggetahui segalanya...


Tiada semangat yang salah melainkan semangat yang hilang matanya…
Tiada keinginan yang benar melainkan keinginan yang kena pada tempatnya…

Teguran buat diri ini yang lemah…
Setiap apa yang berlaku ada penyebabnya…
Jadikanlah kesudahan itu suatu yang baik dengan memperbaiki permulaannya….
Apa yang saya lakukan pada hari ini adalah penentu bagi hasil yang akan saya perolehi pada masa hadapan…
Bertindaklah dalam keadaan sedar…
Allah Maha Mengetahui dengan apa yang saya lakukan….[24:30]

Keinginan yang melampau terhadap sesuatu perkara menyebabkan ramai manusia tertipu dengannya…
Tidak semua niat yang baik menghasilkan sesuatu yang baik seandainya tiada kena ia pada tempatnya…
Ramai manusia yang lupa pada hadapannya, kerana sibuk mengutip kecantikan di bawah kakinya…

(Artikel ini bukanlah bertujuan untuk melarang atau menakut-nakutkan golongan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi sekadar memberi pesanan buat diri ini agar jangan mengabaikan persediaan sebelum perkahwinan)

Wallahu'alam...