Pengenalan Diri

Foto Saya
Abu Abdullah
Kota Tinggi, Johor, Malaysia
Hamba yang sangat faqir kepada Allah. Masih menuntut di UIAM (Gombak), tahun keempat jurusan kejuruteraan. Menamatkan pendidikan peringkat menengah di Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa, Kelantan. Tiadalah nama ini (Abu Abdullah) melainkan sebagai doa agar: 1.dapat ditumpangkan diriku ini bersama-sama dengan orang-orang yang soleh 2.Menjadi ayah kepada Abdullah...
Lihat profil lengkap saya

Belajar Dari Keterpaksaan

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Ada satu ingatan yang tiba-tiba muncul ketika berangkat ke Melaka awal pagi tadi.
Muncul tatkala membuat pertimbangan, "Nak naik motor atau naik bas?"
Masa sekolah di Maahad dulu, jika ada kelapangan pada hujung minggu, saya akan balik ke rumah Makcik Zainab dan Pakcik Shamsudin di Bechah Keranji, Peringat, Kelantan.

Setiap kali saya pulang, saya akan di'paksa' untuk menyampaikan tazkirah subuh selepas mengimamkan solat di balaisah (surau kecil). Lebih indah, tazkirah yang semacam ini perlu disampaikan setiap kali selesai solat Terawikh pada bulan Ramadhan. Pada bulan Ramadhan, sebulan penuh saya berulang-alik dari sekolah ke rumah Makcik. 

Jika ada majlis ngatik (tahlil) di rumah-rumah berhampiran, saya juga akan di'paksa' untuk mengetuai bacaan. Bahkan dalam banyak keadaan, versinya berubah-ubah setiap kali dibaca. Maklumlah, manalah ingat sangat :).

Sejujurnya, ini merupakan suatu proses baru yang saya jalani dahulu. Mungkin tidak bagi sesetengah orang. 

Saya tidak ada ilmu...
Tidak juga pandai berucap apatah lagi memberi kuliah...
Bahkan tidak pernah mengendalikan majlis-majlis tahlil dan seumpama dengannya...
Namun, pengalaman yang singkat ini memberi makna yang sangat besar buat saya pada hari ini.

Lidah terbelit...
Tergagap-gagap...
Tidak tahu apa yang ingin diucap...
Terlupa isi penyampaian...
Berdebar-debar...
Berpeluh-peluh...
Itu semua satu proses pembentukan yang manisnya dapat dirasa pada hari ini.
Ibarat roti canai yang ingin dimasak, dohnya perlu diuli (diketuk-ketuk dan digiling-giling) terlebih dahulu.
Semakin lama diuli semakin lembut.

Terima kasih Makcik dan Pakcik.
Banyak jasa Makcik dan Pakcik sebenarnya.
Semoga Allah membalasnya dengan syurga di akhirat kelak.
Amin...
Andai diri merasa terpaksa.
Bisikkanlah kalimat cinta.
Aku di sini bukan terseksa.
Tetapi bahagia meraih manisnya rasa.

Senyuman Buat Kekurangan

Posted by Abu Abdullah | 2 comments»
Tersenyum sendiri
Meneliti kekurangan diri
Tiada salahnya dalam mencari
Cuma bimbang sesat dalam bumi ciptaan sendiri

Langkah diatur
Fikiran dibetul
Mulai menanam semangat jujur
Siapapun layak beratur

Teringat kisah Nabi Musa
Diperintah Allah berlaku lembut dengan Firaun yang berkuasa
Walaupun berdepan dengan si gila 
Tetapi itu perintah tuhanNYA

Andai itu kisahnya
Kisah kami berbeza
Namun terkandung hikmah yang sama
Baginda berhadapan dengan si penguasa
Aku pula berhadapan dengan sahabat seagama
Bahkan sangat dicinta
Berlaku adillah wahai diri yang penuh hina

Andai di dunia sedikit sedih terasa
Mudah-mudahan akhirat membalas segala
Senyumlah wahai hati yang penuh alpa
Tuhanmu telah menyusun tanpa leka

Bila sesuatu disandar kepada pencipta
Tiada apa yang akan dikecewa
Kerana semuanya akan hancur binasa
Melainkan Allah akan membuatmu senyum sentiasa 

Surat Kepada Benz Ali

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Bismillah...
Assalamualaikum Benz Ali. Mudah-mudahan hidayah Allah ke atas saya dan kamu.

Menyentuh isu-isu yang saudara bangkitkan, syukur pada Allah ia telah menyedarkan saya tentang beberapa perkara. Berkait dengan concern saudara tentang keadaan hidup masyarakat miskin di luar sana. Saya akui tak ramai di luar sana yang sanggup turun padang untuk membantu dan menyelami isi hati mereka.

Namun memukul rata kesemua mereka adalah sama, saya tidak bersetuju. Tambahan bila saudara menyentuh tentang golongan agamawan bahkan agama itu sendiri. Ramai juga di kalangan mereka turut melakukan apa yang saudara lakukan cuma lapangan dan tempatnya berbeza.

Menyentuh tentang kecenderungan saudara untuk berdebat bagi mendapat hujah yang benar, saya hormati pendirian saudara. Namun di sana terdapat kelompangannya. Boleh jadi yang berdebat dengan saudara, tahap keilmuannya tidak dapat menjawab persoalan-persoalan saudara dengan tepat. Yang lebih dibimbangi bagi saya ialah saudara membuat penilaian terhadap perkara tersebut menurut kekurangan hujah yang dia berikan. Lantas menghukum ianya tidak benar dan tidak sempurna.

Tidak salah rasanya, buat kali ini, saudara menggagahkan diri berjumpa dengan ustaz-ustaz yang banyak di luar sana untuk menanyakan segala persoalan-persoalan yang saudara ingin tahu berkait dengan agama. Sebab dalam banyak-banyak bedah buku dan pendebatan yang saudara buat, saudara masih belum lagi menjumpai jawapan-jawapan tersebut.

Saya kagum dengan banyaknya buku yang saudara baca dan hadam. Lebih-lebih lagi berkait dengan ideologi. Untuk menjawab persoalan-persoalan saudara, saya cadangkan agar saudara berjumpa dengan ustaz Zulkifli Baitul Qurro Melaka. Beliau memang mendalami ideologi-ideologi moden dan insyaallah mampu menjawab persoalan-persoalan saudara yang berkait dengannya. Kebetulan dalam masa terdekat, di Baitul Qurro ada program khas untuk mahasiswa. Di bawah ini saya letakkan posternya.

Akhir kata, saya memohon maaf bagi sesetengah pihak yang terlampau lancang dalam berbicara atas nama agama. Kita adalah saudara seagama. Kekuatan saudara sangat diperlukan untuk mengembalikan sebahagian nilai agama yang telah hilang daripada penganutnya.

Salam perkenalan daripada saya,
'Umar Bin Abd Aziz.
Islam rahmat untuk semua


Rajuk al-Quran

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»


Pernah seorang sahabat, Ahmad Alhafiz menyebut, "Al-Quran ini sifatnya mudah merajuk. Mudah untuk seseorang itu menghafal al-Quran, namun untuk mengingati kembali apa yang telah dihafalnya lebih susah."

Walaupun al-Quran itu sifatnya mudah merajuk, namun cintanya kepada mereka yang telah menghafal atau menjaganya sangat mendalam. Ia sentiasa menanti sang kekasih datang dan membelainya kembali.

Seseorang yang terlalu cinta kepada kekasihnya pasti akan cepat terasa dan tersentuh andai layanan yang diterima kurang daripada biasa atau bukan sepatutnya. 

Dekati...
Selami...
dan fahamilah isi hatinya...
Kelak kau akan mengerti
Cintanya kepadamu melebihi saat kau mati

Kekasihmu itu
Hanya mengimpikan kamu berada di sampingnya
Melakukan apa yang dipinta
Sepanjang usia

Rajuknya bukan kerana benci, tetapi minta untuk didekati d
an lebih dirapati...
Lupanya bukan kerana minta dijauhi tetapi sebagai tanda ada maksiat yang perlu dihindari...

2014 Tahun Sengsara Rakyat: Sisi pandang Khalifah Umar Bin Abdul Aziz

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»


Pengenalan
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz merupakan khalifah Bani Umayyah. Beliau dilantik menjadi Khalifah melalui surat watikah perlantikan daripada Khalifah Sulaiman pada tahun 99 Hijriah. Tempoh pemerintahannya hanya selama dua tahun lima bulan.

Saat Awal Perlantikan Sebagai Khalifah
Tatkala beliau menerima watikah perlantikan menjadi Khalifah umat islam, beliau menghimpunkan seluruh rakyatnya dan melepaskan jawatan tersebut di hadapan mereka lalu  menyerahkan kepada mereka bagi memilih sendiri siapakah orang yang mereka suka untuk dijadikan sebagai Khalifah. 

Beliau berkata, “Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya aku telah dipertanggungjawabkan dengan jawatan ini sedangkan aku tidak pernah diajak berbincang mengenainya dan tidak pernah memintanya. Perlantikan ini juga, bukannya melalui proses permesyuaratan dengan orang islam yang ahli (mahir) mengenainya. Oleh itu pada hari ini, aku ingin merungkaikan kembali ikatan bai’ah (taat setia) daripada bai’ah kalian terhadap aku sebelum ini. Justeru, terpulanglah kepada kalian untuk memilih siapakah yang kalian suka untuk memimpin kalian.”

Akhirnya Umar diangkat sebagai Khalifah oleh rakyatnya sendiri. Ketahuilah, manusia yang normal sama sekali tidak akan memilih pemimpin yang buruk di kalangan mereka melainkan manusia yang terdapat penyakit kejahilan dalam dirinya.

Pemimpin kita pada hari ini pula, terlampau gila mempertahankan jawatan walaupun umum mengetahui akan buruknya rekod yang telah mereka perbuat. Mereka bukan dilantik, bahkan melantik diri sendiri dengan pelbagai taktik pilihanraya versi sang penguasa. Oleh yang demikian, kekuasaan yang mereka miliki adalah untuk diri dan bukan untuk berbakti.

Kehidupan Sebagai Khalifah
Sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah, Umar dihamparkan dengan hamparan permaidani dan kemudahan di setiap jalan yang beliau lalui. Walaubagaimanapun, beliau menghalang adat tersebut dan memerintahkan supaya semua barangan hamparan dan kemudahan tersebut dijual dan wangnya dimasukkan ke dalam baitulmal (tabung rakyat).

Berbeza dengan pemimpin kita hari ini, negara dan mereka dihias indah, rakyat merana tidak diambil kisah. Bahkan ketirisan wang rakyat sepanjang tahun disenyapkan seolah-olah hanya untuk tatapan sang rakyat yang buta dan alpa. Duit rakyat umpama duit kerajaan yang memerintah. Apabila tiba saat pilihanraya semuanya dicurah. Bila kemenangan dirasa, rakyat kembali menjadi tabungan sang penguasa.
Khalifah Umar pada zaman pemerintahannya pernah menolak cadangan dan memberi amaran kepada seorang gabenor kerana berhasrat menaikkan cukai untuk menambah kewangan negara, “Kamu berlaku adil atau kamu akan dipecat.”

Apakah hasil Negara hanya ada dalam poket rakyat? Mana pergi kekayaan sumber dan hasil negara yang lain? Tidak cukupkah itu semua? Kalau anda tidak pandai memerintah dan mengurus, sila keluar dari negara ini dan berikan kepada yang mampu… Isunya bukan hanya kenaikan kos sara hidup, tetapi ketirisan dan keborosan kerajaan dalam berbelanja.

Penjagaan Harta Negara
‘Amru bin Mujahir meriwayatkan, “Sesungguhnya Umar Bin Abdul Aziz mempunyai lilin tertentu yang hanya dinyalakan ketika berurusan dengan rakyat jelata. Apabila telah selesai urusan tersebut, beliau akan memadamkannya dan kemudian menyalakan lilin peribadinya untuk kegunaannya sendiri.”

Pemergian Datin Seri Rosmah Mansor ke Forum Perniagaan Wanita Antarabangsa Qatar di Doha pada bulan lepas menimbulkan tanda tanya rakyat. Isunya bukan kerana apa dia pergi, tetapi dengan apa dia pergi? Apakah seseorang yang tiada sebarang jawatan dalam kerajaan sewenang-wenangnya boleh menggunakan jet peribadi kerajaan? Kalau yang tiada jawatanpun sudah begitu, apatah lagi yang berjawatan. Ini belum bicara soal bil utiliti RM2.5 juta kompleks kediaman Perdana Menteri yang dikatakan sebagai paling rendah di dunia itu.

Kos Sara Hidup
Pada suatu hari, datang seorang lelaki membawa timbunan harta yang banyak sekali. Kemudian lelaki itu berkata kepada orang-orang di sampingnya, “Bolehkah kalian tolong bahagikan semua harta ini kepada sesiapa sahaja yang kalian rasa layak untuk menerimanya.” Lelaki ini bertindak begitu kerana dia tidak mampu membahagikan hartanya secara bersendirian kerana Khalifah Umar telah menjadikan semua rakyatnya hidup senang.

Namun dalam keadaan rakyatnya hidup senang, Umar lebih selesa hidupnya secara sederhana. Bahkan beliau tidak mahu ada rakyat yang lebih susah daripadanya. Pernah suatu ketika, Khalifah Umar bertanya kepada isterinya, “Wahai Fatimah, adakah kamu mempunyai duit dirham untuk membeli anggur?” Jawabnya, “Tidak. Apakah munasabah orang seperti kamu tidak mempunyai apa-apa untuk membeli anggur?’ Jawab Khalifah Umar, “Keadaan ini lebih memudahkan kita untuk melepaskan diri daripada segala jenis belenggu yang terdapat dalam neraka jahannam.”

Lihat bagaimana Khalifah Umar mencermati rakyatnya. Bahkan pernah penjaga Kaabah meminta beliau untuk menggantikan kelambu Kaabah dengan yang baru. Lantas beliau berkata, “Sesungguhnya aku berpendapat bahwa peruntukan wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli kelambu Kaabah itu lebih utama diberikan kepada mereka yang lapar.”

Memetik kata-kata Ab. Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan, “Golongan pertengahan yang  saya maksudkan merujuk kepada orang melayu yang boleh miliki kereta Mercedes-Benz, ada rumah banglo, mempunyai harta yang kata orang antara RM 2 juta hingga RM 3 juta.” Kata-kata ini jika dinilai, saya dapat simpulkan dua perkara terhadap beliau; pentingkan diri dan langsung tidak peduli pada rakyat. Jadi tidak peliklah apabila hari ini kita merasai pelbagai jenis kenaikan kos sara hidup. Kerajaan yang ada pada hari ini, bukan sahaja hidupnya mewah bahkan tidak tahu ada rakyatnya yang susah. 

Kenaikan yang berlaku pada hari ini langsung tidak mencerminkan sikap cakna kerajaan kepada rakyat. Bahkan sebelum-sebelum ini kita dapat lihat pelbagai respon ‘goblok’ beberapa orang pemimpin tertinggi kerajaan terhadap isu-isu sara hidup yang dilontarkan. Kalau sifirnya hanya, “Kalau tidak setuju, tak perlu guna atau kurangkan’, saya rasa selepas ini kerajaan perlu menerima teori ini untuk masa yang mendatang. Kalau rakyat tidak setuju dengan kenaikan kos sara hidup BN, tak perlu guna BN…

Nasihat-nasihat
Pernah suatu ketika Khalifah Umar ditegur,“Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya Allah telah membuka bagimu pintu kemewahan. Lantaran itu alangkah baiknya jika tuan menggunakan peluang tersebut untuk menghiasi diri tuan dengan pakaian yang hebat.”

Kemudian Khalifah Umar menundukkan kepalanya sebentar lalu berkata, “Sesungguhnya sebaik-baik niat yang paling ikhlas untuk berzuhuh itu adalah pada saat memiliki kemewahan. Masa yang paling sesuai untuk memberikan keampunan itu adalah ketika mampu melakukannya.”

Umar pernah seharian menangis kerana urusan pemerintahannya. Beliau bimbang seandainya ada hanya seekor anak kambing biri-biri mati di atas tebing Sungai Furat disebabkan kecuaiannya. Beliau takut diazab oleh Allah kerana kecuaian tersebut.

Nota Akhir
Buat kerajaan yang berkuasa, kami masih sedar dan waras. Kami tahu bila masa naik dan turun kerajaan di Malaysia. Malam 31 Disember 2013 membuktikan, tiada gulingan yang dibuat melainkan anda sendiri yang mencaturnya di media-media fitnah anda. Tulisan ini saya tujukan kepada semua pemimpin negara, baik daripada kerajaan mahupun yang berhasrat menjadi kerajaan. Saya yakin dan percaya sebahagian daripada pemimpin kerajaan masih lagi prihatin dan cakna kepada rakyat. Mari bersama kami, sokong dan membantu menurunkan kos sara hidup rakyat. 

#Kami sudah ubah cara hidup kami, tinggal lagi hidup anda bila nak berubah?
#Kalau nak merasa duit rakyat macam duit sendiri, masuklah ke dalam hutan dan binalah negara sendiri di sana. Haiwan-haiwan buas di sana lebih memerlukan anda berbanding kami di sini.

‘Umar Bin Abd Aziz
Fakulti kejuruteraan UIAM

Musafir ke Terengganu

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Perjalanan yang sedikit panjang, bersama masalah mata yang semakin kemerahan. Bermula daripada Kuala Lumpur ke Kota Tinggi dan seterusnya menaiki bas ke Terengganu selang dua jam tiba di rumah.

Ditemani adik Ahmad Hanif untuk menguruskan hal persekolahannya di sana. Setelah selesai urusan, kami dirapati oleh seorang ustaz, Ustaz Hasbullah. Selepas memperkenalkan diri, rupa-rupanya orang rumah ustaz adalah cikgu yang mengajar saya di PASTI dahulu, cikgu Muslimah namanya. Bahkan cikgu juga merupakan anak murid kepada emak saya ketika di tingkatan 6 sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab perguruan.
Setibanya di rumah cikgu, banyak yang kami perbualkan. Saya dan abang, Mu'az Abd Aziz berbeza setahun umur. Menurut cikgu, kami merupakan generasi awal PASTI di Johor. Abang batch pertama dan saya batch kedua. Kata cikgu, pengarah PASTI Johor pernah sebut, "Walaupun mereka masih kecil, generasi inilah 20 tahun nanti yang akan memperjuangkan islam di bumi Johor."
Bila kira-kira balik rupa-rupanya dah 20 tahun kami tidak berjumpa. Cikgu kata dulu gemuk, sekarang ni, kesiannya kurus je cikgu tengok. Maksudnya memang betul gemuk. Setelah 20 tahun cikgu masih ingat kegemukan tersebut .

Banyak yang dibicarakan. Antaranya isu Subasun, perbezaan kecelikan politik rakyat Terengganu dan Kelantan, faktor yang menyebabkan Terengganu masih belum menang, sikap ketidakadilan UMNO mengagihkan duit bantuan dll.

Ada juga cikgu selitkan tentang hal-hal perkahwinan. Bermula dengan sunnah Nabi saw berkahwin umur 25, cabaran anak-anak masa kini dan keperluan memilih calon isteri yang baik. Di akhir pertemuan cikgu sempat berpesan, "Habis belajar nanti jangan lupa jadi pejuang islam."

Sebelum berangkat balik ke Kota, ustaz bawa kami ke sebuah kedai makan. Selama hampir 26 tahun hidup (kalau ikut tahun) tak pernah saya lihat kedai yang sebegini. Kebiasaan di kedai-kedai, mereka menggantung ayat seribu dinar. Tetapi tidak di kedai ini, di dalamnya tergantung ayat peringatan tetang pendustaan terhadap ayat-ayat Allah, azab kubur, kesan meninggalkan solat dll. Menurut ustaz, kedai ini dimiliki oleh anak Ustaz Awang Terengganu.

Sempat juga saya bertanya tentang apakah faktor YB Mat Said kekal sebagai MB terengganu, walaupun sejujurnya saya tidak tahu apakah nilai tambah yang beliau miliki sebagai seorang wakil rakyat. Beliau terkenal sebagai seorang pendendam dan keras kepala.

Perjalanan yang singkat ini juga, alhamdulillah sempat saya habiskan bacaan buku, 'Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat'. Lama dah tak berkesempatan buat perkara yang sebegini... Sebuah buku yang menarik, mengisahkan bagaimana pemikiran dan ketokohan seorang ulama dalam memimpin sebuah negeri.

Banyak perkara yang dapat saya pelajari dalam perjalanan ini. Mudah-mudahan ada keberkatan. Walaupun exam masih ada lagi berbaki dan juga tugasan-tugasan yang lain. Tapi... InsyaAllah selepas ini.

Maaf, masalah-masalah lain yang dialami sepanjang perjalanan, tidak dapat diganti dengan kenangan manis ini. Ini sudah cukup buat penenang dan peneman diri.

Akhir kata,
Apa yang kita beri, akan diganti.
Apa yang kita perolehi, tak semestinya orang lain turut miliki.
Amanah Allah itu pelbagai, mohon saya lebih memahami.
Penyakit yang ditanggung lama derita, penyembuhnya hanya semudah lafaz 'kun' sahaja...

[3 Januari 2014]

Nasihat Ibu

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Tidak ada manusia biasa yang lahir tanpa ada kaitan pada ibunya.
Dibesarkan dalam kandungan, sebelum keluar melihat dunia.
Sebaik keluar, tidak ada yang merangkak sendiri mencari kehidupan.
Pasti ada yang membesar dan mengasuh sehingga dewasa.

Dinyatakan dalam sebuah hadis, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad saw :“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”
Jawab Nabi  : “Ibu kamu”
 Lelaki         : “Selepas itu?"
 Nabi           : “Ibu kamu”
 Lelaki         : “Selepas itu?”
 Nabi           : “Ibu kamu”
 Kali ke 4 lelaki itu bertanya : “Selepas itu?”
Jawab Nabi  : “Ayah kamu”

Kadang-kadang tanpa sempat kita berkata, si ibu terlebih dulu mengerti dan memahami apa yang ingin kita bicarakan.
Setiap simpulan permasalahan yang bermain diminda terungkai satu persatu di dalam pesanan mereka.
Allah anugerahkan mereka  kelebihan dalam memahami anak-anak yang mereka besarkan.

Pernah dulu saya minta sesuatu, tetapi emak minta saya tangguhkan dahulu keinginan tersebut.
Tidak sekali saya suarakan, namun respon balasnya tetap sama.
Kini, saya memahami apakah maksud dan hikmah di sebalik pesanan tersebut.

Ada satu ketika pula saya menemui jalan buntu untuk buat satu keputusan.
Penat dan letih apabila kerap memikirkan perkara tersebut.
Apabila berhubung dengan emak, Allah lapangkan dada saya dengan nasihat yang emak berikan walaupun sebelum ini saya telah menerima pelbagai jenis nasihat daripada orang lain.

Saya jenis yang jarang berkongsi.
Emak tahu tentang hal ini.
Tidak pernahpun saya rasa emak bersikap kontra dengan kecenderungan saya yang sebegini.
Bahkan saya tetap rasa dihargai dan emak begitu memahami.

Saya memahami kemesraan itu akan lahir melalui ketenangan bukan ketegangan.
Ketenangan itu lahir daripada kesefahaman.
Manakala ketegangan pula lahir daripada perbezaan sikap dan pemikiran yang tidak mampu diterima, yang mungkin itu takdir untuk mereka tidak disekalikan.

Emak tidak didik saya sepertimana emak dididik dahulu...
Tetapi saya dididik mengikut keperluan zaman saya dibesarkan...


Istikharah Itu Bagaimana Keputusannya?

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Saya pernah berpengalaman dalam melakukan istikharah.
Dah lama... Lama dulu... Pada tahun 2008.
Maksud saya pengalaman merasai bagaimana proses istikharah itu bermula sehinggalah sampai proses membuat pilihan.
Ustaz-ustaz selalu sebut:
"Siapa yang tak merasa, dia tak tahu."
Saya merasai pengalaman itu.

Pengalaman itu berlaku ketika ingin membuat pilihan tempat dan bidang untuk menyambung pelajaran.
Kertas terakhir SPM dijawab dengan penuh kezaman untuk menjadi seorang doktor.
Alhamdulillah saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Tanta Mesir.
Pada masa yang sama, satu lagi tawaran lain sampai, iaitu kejuruteraan di UIAM.

Proses istikharah itu bermula ketika saya mengikuti kursus bahasa arab di Nilam Puri, Kelantan.
Maksud saya solat istikharah bermula dengan bersungguh di sana.
Setiap kali lepas solat, sebelum tidur, qiam, semuanya dititipkan sekali doa istikharah.

Bila minta pandangan mak, mak kata:
"Mak tak kisahpun Abu Abdullah nak belajar dekat mana, tapi kalau belajar dalam negara senang sikit mak dengan abah nak tanya khabar kalau ada apa-apa masalah."

Makcik pula kata:
"'Abu Abdullah terima je tawaran Mesir tu. Ada anak kawan makcik, best student PMR Negeri --- bila ambil engineering dekat UIA, kena dismiss (buang). Lagipun 'Abu Abdullah' minat nak jadi doktorkan?"
 
Malah ketika medical check-up, doktor di situ sempat berpesan dekat saya:
"Awak nak pergi sambung mana ni? Nak jadi doktor? Tak payahlah... Saya ni kalau boleh patah balik, saya taknak jadi doktor. Awak cuba bayangkan, pagi-pagi dah masuk kerja, lewat petang baru balik. Nanti malam kalau ada emergency call, saya kena datang lagi. Boleh tahan ke hidup macam ni?"

Walaubagaimanapun, keazaman saya untuk menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan tak pernah luntur. Apapun perkara negatif yang disampaikan, saya buat-buat tak dengar je. 

Ketika mengikuti kursus bahasa arab, sepenuhnya saya berbahasa arab di sana. Baik bercakap dengan orang ataupun bercakap sendiri, semuanya berbahasa arab. Nak kata terernya berbahasa arab, saya dapat hadiah pelajar terbaik untuk anugerah peperiksaan bertulis mengalahkan pelajar-pelajar lepasan STAM di sana :). Bunyinya macam berlagak, tapi itulah hakikatnya... hehe...

Jadi apa kaitannya dengan istikharah?
Kaitannya ialah saya betul-betul bersungguh untuk mempersiapkan diri untuk ke Mesir.
Namun pada suatu hari, Allah nampakkan satu gambaran di hadapan mata saya tentang dunia perubatan. Saya lihat video pesakit kencing manis kalau tak silap. Selepas daripada itu, kecendungan untuk masuk ke dalam bidang perubatan daripada 100% menjadi 0%. Saya sendiri tak mampu menjelaskan apakah kandungan video tersebut yang menyebabkan kecenderungan itu berubah.

Pengalaman itu benar-benar mengajar saya erti 'kuasa istikharah' dalam mempengaruhi keputusan.
Hati saya tenang dengan keputusan yang telah dibuat. Sekarang ni dah tahun ke-4 di UIAM dalam bidang kejuruteraan.

Namun, pengalaman ini meninggalkan satu format istikharah dalam pemikiran saya.
Pemilihan dibuat atas dasar hati itu cenderung dan lapang, manakala pemikiran pula menjadi tidak kusut apabila memikirkannya.

Persoalannya, apakah pilihan yang saya perlu buat andai saya berhadapan dengan perkara yang berlawanan dengan format di atas?
Hati tidak cenderung dan sempit, manakala pemikiran menjadi kusut apabila memikirkannya.
Saya benar-benar bimbang andai hati ini jadi begitu kerana dosa yang banyak di dalam diri. Lantas Allah menghijabkan diri untuk cenderung kepada kebaikan dalam membuat pilihan.
Allah...

Halangan Bertaubat

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Mudah-mudahan inilah hijrahku...
Menyarung pakaian yang baru...
Meninggalkan yang lama bukanlah kemampuanku...
Namun harus digagahi kerana malu dengan tuhanku...


Antara perkara yang menghalang manusia daripada bertaubat adalah:

1.Bermudah-mudah dengan sesuatu yang dianggap lambat lagi berlaku
# Merasakan balasan azab atas maksiat yang dilakukan hanya dirasai di akhirat
# Lambat lagi mati
=>Tidak ada istilah mati itu hanya untuk orang tua. Bila sampai masanya, tidak akan dilambatkan dan dipercepatkan walau sesaat oleh Allah. Andaikata ianya lambat, tetap kita
akan sampai ke sana (akhirat), dan dihitung amal kita oleh Allah.

2.Sukar untuk meninggalkan kesedapan dan keinginan terhadap dunia
# Dia mungkin terlupa, sesedap dan seindah manapun kehidupan dunia ini, ia pasti akan berakhir. Manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang tiada pengakhirannya. Kesedapan atau kesengsaraan di sana ditentukan oleh Allah atas keredhaanNYA terhadap amal yang dilakukan oleh seseorang di atas dunia
=>Kalau doktor tak bagi kita makan sesuatu yang kita sukai, mesti kita tidak akan makan makanan tersebut kerana bimbang dengan penyakit yang akan menimpa. Sikap sebegini perlu lebih-lebih lagi ditekankan terhadap perintah dan larangan Allah dan rasulNYA kerana apa yang datangnya daripada Allah adalah kebenaran yang mutlak (sebenar-benarnya).

3.Suka bertangguh
# Merasakan ada kesempatan untuk dia bertaubat pada masa akan datang
=>Kalau kita tidak bertaubat pada waktu kita tersedar kita telah buat maksiat, pada waktu-waktu yang lain lebih susah lagi untuk kita bertaubat. Boleh jadi perbuatan tersebut telah menjadi darah daging kita pada masa akan datang kerana dipupuk sedikit demi sedikit, tanpa ada penyesalan. Ibarat seorang pemuda yang hendak mencabut pohon kayu. Ditangguhkan ke tahun hadapan kerana akar pohon tersebut dirasakan kuat mencengkam ke dalam tanah. Tanpa disedarinya, semakin bertambahnya tahun, bertambah besarlah pohon tersebut, semakin kuat cengkaman akarnya, dan semakin lemahlah tubuh pemuda tersebut kerana ketuaan.

4.Menjanjikan pada dirinya akan kemaafan Allah
# Orang ini dikatakan sehabis bodoh kerana mengharapkan rahmat Allah tanpa bertaubat seolah-olah mengharapkan perahu berlayar di atas daratan.
=>Nabi saw bersabda, 'Orang yang bijak adalah yang sentiasa menghitung (muhasabah) dirinya, dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Dan orang yang lemah itu adalah orang yang mengikut keinginan nafsunya dan mengharapkan sesuatu daripada Allah dalam bentuk angan-angan.'

5.Kerana menganggap kecil dosa yang dilakukan
# Memandang dosa kecil sebagai sesuatu yang remeh. Apabila kerap dilakukan, dosa yang besar juga turut dipandang remeh.
=>Orang yang beriman memandang dosanya ibarat sebuah gunung yang hendak menghempap dirinya, manakala orang yang munafik menganggap dosanya ibarat lalat yang datang menghinggap di atas hidungnya lalu dihalau dengan tangannya.
=>Jangan dilihat kepada kecilnya dosa, tetapi lihatlah kepada siapa dosa itu dilakukan; Allah yang MAHA BESAR
Syeikh Husni Ginting berpesan:
"Jangan kamu bosan berbuat kebaikan, tetapi bosanlah berbuat kejahatan. Seandainya terlanjur berbuat kejahatan, janganlah bosan bertaubat kepada Allah..."

Adab Bersahabat

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Sabda Nabi saw:
"Seseorang itu adalah atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai rakan."

Al-Qamah, seorang ulama yang masyhur suatu ketika dahulu memberikan beberapa panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat, antaranya:
  1. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan membantu menguasahakan pertolongan itu sedaya upayanya.
  2. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya.
  3. Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu.
  4. Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu.                    
Imam al-Ghazali telah menyenaraikan adab-adab bersahabat di dalam kitab Bidayatul Hidayah. Antaranya:
  1. Melebihkan saudara/sahabatnya itu dengan hartanya (apa yg dimiliki).                            ~Sepertimana dia berkehendakkan sesuatu kebaikan untuk dirinya, begitu jugalah yang dia harapkan buat sahabatnya (mendapat kebaikan yang sama).                                                        ~Memberikan hartanya padahal dirinya berhajat kepada harta itu.
  2. Menghulurkan bantuan kepada sahabatnya walaupun tanpa diminta.
  3. Menyembunyikan akan rahsia sahabatnya.
  4. Menutup aib sahabatnya.
  5. Apabila terdengar celaan seseorang kepada sahabatnya,tidak disampaikan celaan tersebut kepada sahabatnya itu.
  6. Apabila diketahui sahabatnya dicela,maka janganlah ia sesekali mendengar celaan itu.
  7. Apabila diketahui sahabatnya dipuji, maka hendaklah ia menyampaikan pujian tersebut kepada    sahabatnya itu.
  8. Hendaklah memberi perhatian kepada sahabatnya tatkala ia berbicara.
  9. Menghindarkan diri dari berbantah-bantah dengan sahabatnya.
  10. Apabila melihat kebajikan yang dibuat oleh sahabatnya,maka hendaklah ia memuji akan sahabatnya.
  11. Menegah orang yang sedang mencela sahabatnya walaupun ketika ketiadaan sahabatnya.
  12. Memberi nasihat dan teguran kepada sahabat apabila diminta.
  13. Memaafkan segala kesalahan sahabatnya itu dan tidak mencacinya atas kesalahan yang telah dilakukan.
  14. Sentiasa mendoakan kebaikan kepada sahabat sama ada yang masih hidup atau telah mati.
  15. Hendaklah membuat kebajikan kepada sahabatnya dan kepada keluarganya apabila dia telah meninggal dunia.
  16.  Tidak memberati akan sahabatnya itu daripada suatu hajatnya supaya senang hati sahabat itu dari kesusahan.
  17.  Mendahului memberi salam ketika berjumpa sahabatnya.
  18. Memuliakan akan sahabatnya itu akan segenap hal kebaikan.
  19. Apabila sahabatnya berkata, hendaklah dia mendengar sehingga selesai sahabatnya berkata, sesudah itu barulah dia berkata.

Saidina Ali berkata:
"Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu (ketika susah dan senang). Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu."

Abu Sulaiman al-Darani ra mengingatkan kita agar melihat dua sifat ini pada seseorang sebelum memilihnya sebagai rakan:
(1)     Orang yang mudah engkau berurusan dalam kehidupan seharian.
(2)     Orang yang dapat memberikan faedah dan manfaat dalam segala perkara.

Setiap individu muslim mempunyai hak yang perlu ditunaikan terhadap sahabatnya. Janganlah sekadar menagih hak kita (sebagai sahabat kepada muslim yang lain), dan mengabaikan hak sahabat lain yang perlu kita tunaikan.