Halangan Bertaubat

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Mudah-mudahan inilah hijrahku...
Menyarung pakaian yang baru...
Meninggalkan yang lama bukanlah kemampuanku...
Namun harus digagahi kerana malu dengan tuhanku...


Antara perkara yang menghalang manusia daripada bertaubat adalah:

1.Bermudah-mudah dengan sesuatu yang dianggap lambat lagi berlaku
# Merasakan balasan azab atas maksiat yang dilakukan hanya dirasai di akhirat
# Lambat lagi mati
=>Tidak ada istilah mati itu hanya untuk orang tua. Bila sampai masanya, tidak akan dilambatkan dan dipercepatkan walau sesaat oleh Allah. Andaikata ianya lambat, tetap kita
akan sampai ke sana (akhirat), dan dihitung amal kita oleh Allah.

2.Sukar untuk meninggalkan kesedapan dan keinginan terhadap dunia
# Dia mungkin terlupa, sesedap dan seindah manapun kehidupan dunia ini, ia pasti akan berakhir. Manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang tiada pengakhirannya. Kesedapan atau kesengsaraan di sana ditentukan oleh Allah atas keredhaanNYA terhadap amal yang dilakukan oleh seseorang di atas dunia
=>Kalau doktor tak bagi kita makan sesuatu yang kita sukai, mesti kita tidak akan makan makanan tersebut kerana bimbang dengan penyakit yang akan menimpa. Sikap sebegini perlu lebih-lebih lagi ditekankan terhadap perintah dan larangan Allah dan rasulNYA kerana apa yang datangnya daripada Allah adalah kebenaran yang mutlak (sebenar-benarnya).

3.Suka bertangguh
# Merasakan ada kesempatan untuk dia bertaubat pada masa akan datang
=>Kalau kita tidak bertaubat pada waktu kita tersedar kita telah buat maksiat, pada waktu-waktu yang lain lebih susah lagi untuk kita bertaubat. Boleh jadi perbuatan tersebut telah menjadi darah daging kita pada masa akan datang kerana dipupuk sedikit demi sedikit, tanpa ada penyesalan. Ibarat seorang pemuda yang hendak mencabut pohon kayu. Ditangguhkan ke tahun hadapan kerana akar pohon tersebut dirasakan kuat mencengkam ke dalam tanah. Tanpa disedarinya, semakin bertambahnya tahun, bertambah besarlah pohon tersebut, semakin kuat cengkaman akarnya, dan semakin lemahlah tubuh pemuda tersebut kerana ketuaan.

4.Menjanjikan pada dirinya akan kemaafan Allah
# Orang ini dikatakan sehabis bodoh kerana mengharapkan rahmat Allah tanpa bertaubat seolah-olah mengharapkan perahu berlayar di atas daratan.
=>Nabi saw bersabda, 'Orang yang bijak adalah yang sentiasa menghitung (muhasabah) dirinya, dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Dan orang yang lemah itu adalah orang yang mengikut keinginan nafsunya dan mengharapkan sesuatu daripada Allah dalam bentuk angan-angan.'

5.Kerana menganggap kecil dosa yang dilakukan
# Memandang dosa kecil sebagai sesuatu yang remeh. Apabila kerap dilakukan, dosa yang besar juga turut dipandang remeh.
=>Orang yang beriman memandang dosanya ibarat sebuah gunung yang hendak menghempap dirinya, manakala orang yang munafik menganggap dosanya ibarat lalat yang datang menghinggap di atas hidungnya lalu dihalau dengan tangannya.
=>Jangan dilihat kepada kecilnya dosa, tetapi lihatlah kepada siapa dosa itu dilakukan; Allah yang MAHA BESAR
Syeikh Husni Ginting berpesan:
"Jangan kamu bosan berbuat kebaikan, tetapi bosanlah berbuat kejahatan. Seandainya terlanjur berbuat kejahatan, janganlah bosan bertaubat kepada Allah..."

Adab Bersahabat

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Sabda Nabi saw:
"Seseorang itu adalah atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai rakan."

Al-Qamah, seorang ulama yang masyhur suatu ketika dahulu memberikan beberapa panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat, antaranya:
  1. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan membantu menguasahakan pertolongan itu sedaya upayanya.
  2. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya.
  3. Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu.
  4. Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu.                    
Imam al-Ghazali telah menyenaraikan adab-adab bersahabat di dalam kitab Bidayatul Hidayah. Antaranya:
  1. Melebihkan saudara/sahabatnya itu dengan hartanya (apa yg dimiliki).                            ~Sepertimana dia berkehendakkan sesuatu kebaikan untuk dirinya, begitu jugalah yang dia harapkan buat sahabatnya (mendapat kebaikan yang sama).                                                        ~Memberikan hartanya padahal dirinya berhajat kepada harta itu.
  2. Menghulurkan bantuan kepada sahabatnya walaupun tanpa diminta.
  3. Menyembunyikan akan rahsia sahabatnya.
  4. Menutup aib sahabatnya.
  5. Apabila terdengar celaan seseorang kepada sahabatnya,tidak disampaikan celaan tersebut kepada sahabatnya itu.
  6. Apabila diketahui sahabatnya dicela,maka janganlah ia sesekali mendengar celaan itu.
  7. Apabila diketahui sahabatnya dipuji, maka hendaklah ia menyampaikan pujian tersebut kepada    sahabatnya itu.
  8. Hendaklah memberi perhatian kepada sahabatnya tatkala ia berbicara.
  9. Menghindarkan diri dari berbantah-bantah dengan sahabatnya.
  10. Apabila melihat kebajikan yang dibuat oleh sahabatnya,maka hendaklah ia memuji akan sahabatnya.
  11. Menegah orang yang sedang mencela sahabatnya walaupun ketika ketiadaan sahabatnya.
  12. Memberi nasihat dan teguran kepada sahabat apabila diminta.
  13. Memaafkan segala kesalahan sahabatnya itu dan tidak mencacinya atas kesalahan yang telah dilakukan.
  14. Sentiasa mendoakan kebaikan kepada sahabat sama ada yang masih hidup atau telah mati.
  15. Hendaklah membuat kebajikan kepada sahabatnya dan kepada keluarganya apabila dia telah meninggal dunia.
  16.  Tidak memberati akan sahabatnya itu daripada suatu hajatnya supaya senang hati sahabat itu dari kesusahan.
  17.  Mendahului memberi salam ketika berjumpa sahabatnya.
  18. Memuliakan akan sahabatnya itu akan segenap hal kebaikan.
  19. Apabila sahabatnya berkata, hendaklah dia mendengar sehingga selesai sahabatnya berkata, sesudah itu barulah dia berkata.

Saidina Ali berkata:
"Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu (ketika susah dan senang). Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu."

Abu Sulaiman al-Darani ra mengingatkan kita agar melihat dua sifat ini pada seseorang sebelum memilihnya sebagai rakan:
(1)     Orang yang mudah engkau berurusan dalam kehidupan seharian.
(2)     Orang yang dapat memberikan faedah dan manfaat dalam segala perkara.

Setiap individu muslim mempunyai hak yang perlu ditunaikan terhadap sahabatnya. Janganlah sekadar menagih hak kita (sebagai sahabat kepada muslim yang lain), dan mengabaikan hak sahabat lain yang perlu kita tunaikan.


Semarakkan Cinta

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Cintailah Allah semahunya kerana tiada cinta yang lebih ampuh daripada cintanya...
Cintailah manusia sekadarnya kerana tiada manusia yang terlepas daripada kealpaan dalam percintaan...
~Cinta Allah~

Ada beberapa kenyataan tentang cinta yang perlu kita fahami
>Cinta kepada Allah adalah tujuan, cinta kepada Nabi adalah jalan (untuk mencapai tujuan).
>Untuk mencintai seseorang, perlu kita kenal padanya.
>Kalau kita rasakan cinta itu indah di hati, Allah lebih indah daripada itu.
>Cinta kepada Allah adalah paling utama kerana Allah yang menciptakan cinta.
>Cinta kepada Allah adalah sumber kekuatan kepada cinta yang lain.

Ungkapan cinta:
Cintailah sesiapa yang benar-benar mencintai kita kerana ia akan berbalas, bukanlah mencintai sesiapa yang kita ingin cintai, kerana belum tentu ia akan berbalas.

'Siapa yang lebih cinta dialah yang paling banyak memberi'
Tanda Allah lebih banyak memberi:
1.Allah beri tanpa kita minta; jantung yang berdegup, oksigen yang kita hirup dll.
2.Tidak mengharapkan ucapan terima kasih; walaupun ramai manusia yang menderhakai Allah, Allah masih memberi nikmat dalam kehidupan mereka.
3.Allah sangat pemaaf dan Allah juga cinta kepada kemaafan. Allah lebih gembira menerima taubat hambanya lebih daripada kegembiraan si musafir yang kehilangan untanya di padang pasir lalu dia menjumpainya semula setelah putus harapan.

Dialog antara Nabi Musa dengan Allah
Nabi Musa:
'Ya Allah apa yang akan kau katakan pada orang yang taat, bangkit untuk mendirikan solat kepadaMU?'
Allah:
'Selamat datang wahai hambaku.'
Nabi Musa:
'Bagaimana pula apabila seorang yang berdosa datang untuk solat?
Allah:
'Selamat datang wahai hambaKU, selamat datang wahai hambaKU, selamat datang wahai hambaKU.' 
Maka oleh itu, untuk tidak dikecewakan dalam bercinta, cintailah Allah...

~Cinta Makhluk~

Apa ta'rif cinta?
Cinta adalah perbuatan bukanlah kata-kata. Ia dapat diterjemahkan dengan tindakan tanggungjawab. Bilamana seseorang itu mengatakan, 'Saya cinta kepada awak,' ia bermakna 'Saya ingin bertanggungjawab terhadap awak.'
Bilamana seseorang itu mencintai seseorang yang lain, maka dia akan mempersiapkan persiapan yang terbaik untuk kekasihnya; ilmu, akhlak, kewangan dll.

Prinsip dalam percintaan
>Kenal dulu baru bercinta; semasa bercinta masing-masing berlakon (all prepare to be good)
>Bila bercinta bukan kerana Allah, cinta itu buta. 
>Cinta yang hakiki apabila si pencinta dapat melihat dua sisi orang yang dicintainya; baik dan buruk, lalu dia mencintainya kerana kebaikan yang ada padanya.
>Cinta itu bukan hanya dorongan perasaan tetapi juga disertai peraturan daripada Allah.

Pesanan kepada remaja
Semakin banyak kemanisan cinta yang anda teguk (sebelum pernikahan), semakin tawar dan hambar pernikahan anda.
Ungkapan: 
Perkahwinan boleh menjadi pusara kepada percintaan.

Bagaimana hidup berpasangan?
>Kita menjadi orang yang baik lebih penting daripada mencari pasangan yang baik.
>Dasar pernikahan Allah adalah untuk mentaati Allah dan berperanan sebagai khalifah.
>Perubahan kita (menjadi baik) akan mengubah orang lain.
>Jangan mencari kebahagiaan dalam perkahwinan tetapi bawalah kebahagiaan dalam perkahwinan.
>Bilamana suami menjalankan peranan dengan baik, maka hak isteri akan dipenuhi begitu juga sebaliknya.
>Berfikirlah untuk memberi nescaya kamu akan menerima.
>Jangan bergantung kepada kekuatan kita tetapi bergantunglah kepada Allah.
>Rumah tangga adalah masjid, oleh itu ia perlu diasaskan dengan taqwa.
>Untuk kekal dalam cinta dasarkanlah dengan dasar cinta yang kekal.
Jalan untuk mencintai Allah
Sebahagian jalan untuk mencintai Allah adalah melalui manusia.
Sebagai contoh, seorang guru menyampaikan ilmu kepada muridnya. Seandainya ilmu yang disampaikan itu bermanfaat maka ia dikira sebagai jalan untuk menyampaikan cintanya kepada Allah. Begitu jugalah dengan ibu bapa yang mendidik anaknya kerana memahami ia sebagai sebuah amanah dan pemimpin yang memberikan keadilan kepada rakyatnya.

Apa maksud saya cinta kamu kerana Allah?
1.Dasar cintanya adalah mentaati Allah. Cinta itu sebaga wadah untuk beribadah kepada Allah dan melaksanakan tugas sebagai khalifah.
2.Jalan yang dipilih mesti menepati syara'.
3.Jangan cinta kepada makhluk mengatasi cinta kepada Allah

'Tidak ada kasih kepada manusia dengan menderhakai Allah'
Kisah Firaun dan Siti Asiah: 
Siti Asiah merupakan seorang isteri yang solehah. Dia mentaati firaun dalam setiap perkara yang baik. Namun bilamana Asiah diperintah untuk menyembah Firaun, dia memberontak dan akhirnya dia dibunuh.

Kisah Saidina Abu Bakar dan Anaknya:
Anak Abu bakar belum memeluk islam ketika peperangan badar berlaku. Beliau memberitahu, dia terpaksa mengelak daripada bertemu ayahnya di dalam peperangan tersebut. Jawab Abu Bakar, 'Demi Allah aku tidak akan teragak-agak memancung kepala engkau sekiranya kita bertemu di saat itu.'

Kisah 'Umair Bin Wahab:
'Umair Bin Wahab pernah berhasrat dan merancang untuk membunuh Nabi Saw. Takdir Allah, dia mendapat hidayah dan memeluk islam.
Kata 'Umar al-Khattab (sebelum 'Umair memeluk islam), 'Babi lebih aku cintai daripada engkau.' Tetapi setelah 'Umair memeluk islam, 'Umar berkata, 'Engkau lebih aku cintai daripada anakku sendiri.'

Siapa yang memisahkan cinta seseorang kepada Allah?
Hakikatnya kita semua telah berikrar mengakui ketuhanan Allah ketika di alam ruh.  Ikrar itu sudah pasti dilafazkan dengan sepenuh kecintaan kepada Allah.
Namun sebaik sahaja dilahirkan ke dunia, segalanya berubah. Ramai di antara kita seolah-olah tidak pernah mengenal cinta Allah.
Antara faktor terbesar yang memisahkan si anak dengan cinta yang sebenar adalah ibu bapa dan sistem kehidupan. 

Sabda Nabi Saw:
'Setiap anak itu dilahirkan dengan fitrah. Maka ibu bapanya yang mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi.'

Satu analogi, seorang anak yang dipisahkan daripada ibu bapa yang sebenar dan dibesarkan oleh keluarga angkat. Apabila meningkat dewasa, keluarga angkatnya memberitahu perkara yang sebenar. Apabila dia bertemu dengan ibu bapa asalnya, siapakah yang lebih dicintai?

P/S:
Cinta itu adalah ikatan hati dan ia sinonim dengan iman. Siapa yang kuat imannya, maka akan kuat cintanya.
"Ya Allah terbitkanlah rasa cinta kami kepadaMU dan kepada orang yang mencintaiMU, dan jadikanlah keinginan cinta kami kepadaMU mengatasi keinginan kami kepada air yang dingin di saat dahaga yang amat."
(Tulisan ini adalah hasil catatan daripada rancangan Tanyalah Ustaz yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol. Maaf, saya tidak dapat menulis setiap isi yang disampaikan dengan tepat. Malahan ada juga pertambahan daripada saya yang lemah ini di dalam catatan di atas)

Belajar Untuk Menerima

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Susah untuk sesetengah manusia menerima sesuatu perkara yang bertentangan dengan apa yang dia rasa...
 
Rasa macam dah buat kerja... Tapi orang lain kata, “Awak ni nampak rilek je...”
Rasa macam dah buat baik dah... Tapi orang kata, “Awak ni nampak macam berlagak je...”
Rasa lebih baik bersikap tenang untuk menghilangkan kekusutan yang ada, tapi orang kata, “Ni mesti tak buat kerja... Tak nampak serabutpun...”

Sekali bila hak kita dipertikaikan, kita cepat melenting. Cepat merasa tak puas hati dengan tuduhan-tuduhan yang dikenakan...

Tapi bila tanya balik pada diri, berapa banyak hak Allah yang telah kita langgar? Amanah yang telah disia-siakan? Janji yang hanya tinggal janji? 

Kalau hak Allahpun kita buat sambil lewa, takkanlah bila hak kita orang pertikaikan kita nak marah? Bukankah hati mereka itu milik Allah?


Bila bekerja kerana mengharap sesuatu daripada manusia, kita akan merasa sempit dengan banyak perkara. Lakukanlah kerana Allah... Sesungguhnya Allahlah sebaik-baik Pemberi Balasan...

Manusia itu ibarat lautan. Sebanyak manapun air yang dicurahkan ke dalamnya, kamu tidak akan dapat melihat hasilnya...

Kuketuk PintuMU...

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Aku ketuk pintuMU dengan segunung harapan...
Namun caranya menyalahi adat kebiasaan...
Di saat orang lain tidur nyenyak...
Aku turut serta bersama mereka...
Tidur bermimpikan harapan...

Aku bermadah Kamu adalah tumpuanku...
Tangisanku adalah untukMU...
Kupersembahkan luahan rasa cintaku kepadaMU...
Namun amalku menyalahi sanubariku...

Aku mengadu kepadaMU aneka penderitaan...
Menatang usia yang penuh cabaran...
Kamu tentu tahu sepenuhnya...
Kesabaranku sudah mula luntur...
Daya tenagaku sudah mula lemah...

Sekarang padaMU aku menadah tangan...
Dengan penuh penghinaan...
Duhai dzat yang selayaknya tangan itu ditadahkan...
Buat kali yang seribu...
Menyesali dosa yang acap kali aku lakukan...

Justeru, kupohon takut dan harapku...
Menyandarkan dirinya kepadaMU...
Izinkan keduanya terbang dengan selamat...
Tanpa jatuh tersungkur kerana kebodohan...

Nafsu itu ibarat anak kecil yang menyusu...
Hanya pandai merengek apabila menginginkan sesuatu...
Tidak pernah ia terfikir,
beratnya menanggung dirinya yang satu...

Kupohon kepadaMU wahai tuhanku...
Janganlah biarkan tadahanku tidak berisi...
Limpah kurniaMU seluas lautan...
Memuaskan sesiapa sahaja yang menghirupnya...
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Buat kekasih hatiku...
Tidak sanggup aku melafazkan cinta kepadamu...
Kerana sesungguhnya...
Cinta yang akan kulafazkan itu hasil kekurangan cintaku terhadap tuhanku...


Diinspirasi oleh puisi arab terjemahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

CInta Rasulullah SAW

Posted by Abu Abdullah | 2 comments»
Sebaik sahaja selesai memberi kuliah pada suatu malam, dijemput dengan tiba-tiba, berbekalkan ilmu yang hanya sekadarnya, tanpa disangka-sangka Allah memberikan satu perasaan yang sangat indah.
Indah...
Tapi tak mampu diungkap...
Syahdu...
Tapi menggembirakan...
Mudah-mudahan inilah perasaan yang sama sepertimana yang dirasai oleh orang-orang yang menyampaikan peringatan tentang agama...

Nabi saw bersabda, 'Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.'
Kalam yang indah, daripada kekasih yang sangat dicintai dan dirindui...
Aku ingin bertemu denganmu ya Rasulullah...

Malam itu saya tidur dengan berbantalkan bantal yang empuk, bersama perasaan yang seakan-seakan tidak mahu hilang membawa ke dalam mimpiku...

Eh, ramainya orang kat sini?
Berbaju putih kesemuanya...
Bukankah ini pakcik yang aku jumpa di pondok dulu?

Teringat kembali sejarah lepas...
Di pondok Pasir Tumboh...
Setiap kali selepas solat isya', mataku sering terpaku pada kelibat seorang tua di penjuru masjid.
Sentiasa berzikir, membaca al-Quran...
Gelagatnya sentiasa menarik perhatianku... tanpa pernah dipaksa...
Suatu hari aku memberanikan diri untuk berjumpa dengannya, 'Pakcik, boleh semak bacaan fatihah saya?.' 'Demo gi jo jupo saing-saing hok panda ngaji al-Quran, semok dengei
demo tu...,' jawab pakcik tersebut, respon kepada persoalanku.'
Allah... Permintaanku tidak diterima.
Memang layak untuk seorang yang berdosa, diabaikan permintaanya tanpa sebarang syarat...
Sedih... Tetapi itu yang selayaknya...

Hari berikutnya, aku cuba lagi...
Berbekalkan doa dan air mata, berharap kepada Allah, mudah-mudahan aku dapat manfaat daripada orang yang soleh ini...
'Pakcik, boleh semak bacaan fatihah saya?,' tanya saya dalam keadaan berharap yang amat sangat...
Dalam keadaan tersenyum, pakcik tersebut menerima permintaanku.
Selesai membaca fatihah, pakcik tersebut membaca sesuatu dan dihembus ke kepalaku...

Tamat sahaja pertemuan, bercucuran air mata ini melimpah ibarat empangan yang pecah selepas hujan...
Gembira sangat...
Sedih juga ada... Bila mengenangkan dosa lampau...
Allah masih memberi kenikmatan yang sangat banyak walaupun terhadap hambaNYA yang sentiasa tak putus-putus melakukan dosa...


Kehadiran saya di tempat tersebut (seakan-akan masjid pondok Pasir Tumbuh), disambut dengan ucapan tahniah...
'Tahniah, Nabi saw mengirim salam kepadamu...'
Allah...
Saya dikerumuni oleh orang-orang di tempat tersebut, yang semuanya mengatakan ucapan yang hampir sama...
Terjaga saya daripada tidur dengan bibir yang berukir senyuman, pengalaman yang tak pernah saya alami sebelum ini...

Saya sentiasa mengharapkan pertemuan dengan baginda Nabi saw.
Rindu...
Cinta...
Sayang...
Namun itulah kenangan yang paling dekat...
Sudah sekian lama berlalu...
Mudah-mudahan ia adalah mimpi yang benar...

Saya menyedari...
Kasih itu bukan hanya sekadar dilafaz, tetapi perlu dibuktikan...
Bila nafsu itu diangkat menjadi raja, usahkan Allah, kekasihnya juga tidak akan mahu berjumpa denganmu...

Apakah ada kesempatan dan peluang untuk aku bertemu denganmu ya Rasulullah?
Aku cinta kepadamu, namun nafsuku juga merengek-rengek meminta aku mencintainya...
Aku lemah ya Rasulullah...
Allahumma salli 'ala saiyidina Muhammad wa'ala alihi wasohbihi wabaraka wasallam...

Hati Itu Milik Allah...

Posted by Abu Abdullah | 6 comments»
Pada suatu hari, telah menulis seorang wanita akan sebuah coretan kepada seorang lelaki. Coretan yang ditulis adalah sebagai persembahan bagi menyatakan hasrat hatinya kepada lelaki tesebut. Bukanlah niat di hatinya untuk menunjukkan semangat kecintaan yang membara apatah lagi nak merendahkan maruah diri sendiri tetapi demi untuk membina sebuah ikatan yang dapat memandunya mencapai keredhaan Allah...
__________________________________________________________________________________________________________________________________
بِسْــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akhbar...
Astaghfirullahal’adzim, Astaghfirullahal’adzim, Astaghfirullahal’adzim...
Dengan hati yang tenang ana ingin menyatakan segala yang tersirat disebalik hati ini... 


SEKADAR CORETAN HATI….

Sememangnya benar pernikahan itu menghalalkan segala apa yang terhijab antara dua  pasangan…tapi ana ingin saudara juga mengetahui dan mengerti bahawa pernikahan jua adalah jalanku untuk ke syurga-Nya..pernikahan jua adalah jalan untuk melahirkan mujahid mujahidah yang soleh solehah.... Telah ku nekad dalam diriku untuk terus memperjuangkan segala apa yang diperjuangkan kini… hingga akhir hayatku akan ku terus di jalan-Nya..dan ku bermohon semoga hembusan nafasku yang terakhir jua adalah di jalan-Nya..insyaallah.. kerana itu telah dari awal ku sediakan diriku untuk membiarkan saudara mencari yang terbaik untuk dirimu…kerana cukuplah Allah bagiku..sesungguhnya bahawa cara hidup Rasulullah SAW itulah yang terbaik.

Kecintaanku yang hakiki kepada insan lain hanyalah kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai insan itu kerana dzatnya, sebaliknya adalah kerana insan itu dapat mendekatkan diri ini dengan akhirat. Ana tiada kekuatan untuk menyatakan semua ini melainkan datangnya hanya dari Allah, satu-satunya sumber kekuatan diri ana..Kekuatan untuk ana mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang ana tidak begitu kenal sepenuhnya.. Ana memahami ketidakbersediaan saudara untuk menghadapi perihal perkahwinan ini, tetapi andaiku dapat mengabaikan segala perasaan yang Allah kurniakan kepadaku ini mungkin lebih baik buat masa sekarang. Tetapi ketahuilah ana yang  juga sedang mempersiapkan diri ini sehinggalah saudara sudah benar-benar bersedia nanti. Andai saudara memerlukan tempoh yang panjang untuk lebih bersedia, tafaddal ya akhi, berbekalkan kekuatan dariNya ana tetap dengan keyakinan ana… Keyakinan yang Allah berikan ini, hanya mampuku tafsirkan dengan segala tindakan yang telah ku ambil selama ini terhadap dirimu… terimalah diriku seadanya dan begitulah sebaliknya kerana manusia itu dicipta untuk saling melengkapi..Ana ingin saudara tahu yang Cinta Allah itu lebih utama dalam diri ini.

Dunia ini sudah tidak lama lagi..jika ada jodoh di dunia, insyaallah akan bertemu atas ikatan pernikahan yang sah atas namaNya..ana tidak  mengharapkan calon imamku seorang yang terlalu mulia..cukuplah bagiku jika calon imamku sedar hakikat dirimu iaitu hamba Allah..kerana jika engkau sedar, pastinya engkau akan menjalankan tanggungjawabmu sebagai hambaNya..jika tiada jodoh kita di dunia, semoga kan bertemu di syurga..insyaAllah.. sekali lagi aku ingin kau tahu bahawa cinta Ilahi tetap yang utama di hatiku..~

Ikhlas dari ana yang daif lagi hina ini yang sedia menanti dengan keyakinan bahawa Allah mendengar segala luahan hati hambaNya~

"Janganlah biarkan diri kita dipandu oleh keputusan emosi semata-mata. jika pasangan lelaki dan perempuan sudah baik agamanya atau yang paling utama sedia dididik dan mahu belajar..terimalah seadanya.." ~ustaz hasrizal

wallahuaa'lam~

Sekian warkah khas untukmu wahai Adam . . . . . .
__________________________________________________________________________________________________________________________________
Berapa ramai lelaki di luar sana yang mampu mengungkapkan perkara yang sama...
Mampu jujur atas jawapan dan pemilihan yang dibuat...
Tidak mudah bagi seorang wanita untuk meluahkan hasratnya...
Mudah-mudahan Allah memberikan wanita tersebut suami yang soleh, yang dapat membahagiakan dirinya hingga ke syurga...

Firman Allah SWT (an-Nur:26):
"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik..."