Kebersihan Adalah Sebahagian Daripada Iman

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Teringat kembali pengalaman menjadi AJK kebersihan di sekolah menengah dahulu...
Pengalaman yang indah, yang insyaallah cukup baik sekiranya dapat dikongsikan bersama.
Setiap bulan akan diadakan pertandingan kebersihan kelas. Tiga kelas yang terbersih akan diberikan hadiah manakala tiga kelas yang terkotor pula akan diumumkan namanya ketika 'tobor' (perhimpunan). Guru-guru asyik memberikan kata-kata perangsang yang menikam jiwa, "Janganlah malukan guru kelas awak semua."
Tiada seorang guru pun yang mampu berdiam diri sekiranya kelas yang dihadiri tidak bersih. Pembelajaran akan ditangguhkan seketika semata-mata untuk memberi ruang membersihkan kelas.
 
Setiap kali menjalankan tugas, diri ini sering terfikir, bagaimana mungkin manusia itu mampu hidup dalam persekitaran yang kotor?
Bau taik kucing depan rumah pun dah menyumpah-seranah jiran sebelah, apatah lagi kalau benda tu bertepek atas sofa rumah...
Terima kasih kepada abang-abang yang menjalankan tugas sebagai majlis pembandaran.

Kebersihan itu boleh disifatkan sebagai sesuatu yang mempunyai haknya yang tersendiri terhadap setiap perkara yang dikenakan ke atasnya.
Sebagai contoh:
Kebersihan tempat tinggal adalah pada kekemasan,
Kebersihan harta adalah pada zakat,
kebersihan diri adalah pada keikhlasan,
Kebersihan undang-undang adalah pada syariat yang telah ditetapkan,
kebersihan negara adalah pada pemimpin yang amanah...

Secara fitrahnya, manusia itu cinta kepada kebersihan. Lahirnya bersih (hati) dan kembalinya juga begitu (jasad).
Selalunya perkataan kotor ini akan dikaitkan dengan perkara yang tidak baik. Manakala perkataan bersih pula dikaitkan dengan perkara yang baik.
Sebagai contoh, otak kotor merujuk kepada pemikiran yang menjurus kepada sesuatu yang tidak bermoral dan muka bersih merujuk kepada muka yang bebas daripada jerawat dan bintik-bintik hitam.
 
Cuma kebelakangan ni kedengaran sesuatu yang lari daripada kebiasaan.
"BERSIH" adalah haram!
Aik? Biar betul?
Tiba-tiba terdengar seorang pakcik mengusik, "Nak masuk KL nanti jangan pakai baju bersih, pakai baju kotor. Kalau tak kena tangkap nanti..."
Bukan sahaja bersih, kuning juga menjadi mangsa keadaan...
Pemerhati meramalkan:
1) Tiada lagi maskod DIGI
2) Tiada lagi simbol keagungan sultan yang tinggal (simbol agama sudah tenggelam, kini warnanya pula semakin pudar)
3) Warna lampu isyarat berkurangan kepada dua (hijau dan merah); warna biru boleh dipertimbangkan sebagai pengganti yang bakal hilang
4) Kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat (penukaran lampu kuning kenderaan dan jalan kepada putih)
5) Kelip-kelip hanya akan dapat dilihat di dalam zoo (semakin pupus ekoran penangkapan besar-besaran yang akan dijalankan)

Apa sebenarnya yang dituntut oleh perhimpunan bersih, sehingga menyebabkan:
Kerajaan persekutuan melarang melakukan perhimpunan di jalanan dan meminta untuk mengadakannya di stadium tetapi selepas itu melarangnya pula...
PATRIOT membantah untuk mengadakan BERSIH di stadium merdeka kerana di sanalah tempat suci rakyat Malaysia melaungkan kemerdekaan (konsert tak apa)...
Pihak polis bersemangat membuat sekatan jalan raya ke pusat bandar(dulu kata BERSIH menyebabkan pemandu teksi, kedai rugi... Mungkin bila tak ada orang datang, mereka akan dapat untung)...

Tidak banyak yang dituntut oleh perhimpunan BERSIH melainkan pilihan raya yang adil dan bersih. Sekiranya pilihan raya sebelum ini telah adil dan bersih seperti mana yang didakwa oleh pihak kerajaan, apa salahnya sekiranya menerima cadangan pihak BERSIH untuk  menjadikannya lebih adil dan bersih. 
Sesungguhnya keadilan itu terbukti bilamana ia dilaksanakan bukan hanya sekadar diperkatakan.
Antara tuntutan mereka ialah:
1. BERSIHKAN  SENARAI UNDI
2. MENREFORMASI UNDI POS
3. GUNA DAKWAT KEKAL
4. MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI
5. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL
6. KUKOHKAN INSTITUSI AWAM
7. HENTIKAN RASUAH
8. HENTIKAN POLITIK KOTOR

Sepatutnya kerajaan perlu bersyukur kerana rakyat Malaysia adalah rakyat yang cintakan keadilan.
Janganlah ditutup kecintaan tersebut dengan menanamkan kebencian kepadanya.
Ibarat mengajar si singa beperangai pelanduk. Suatu hari ia akan sedar akan tajamnya taring yang ia miliki...

Firman Allah swt:
"Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali
kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan
."[al-Maidah:8]

Sabda Nabi saw:
"Antara pergelangan iman yang amat teguh ialah mencintai sesuatu kerana Allah dan membenci sesuatu kerana Allah."
 
Mudah-mudahan ditanamkan di dalam kita semua perasaan cinta akan keadilan, kerana Allah swt itu bersifat adil kepada makhluk ciptaannya...
Wallahua'alam.

0 comments:

Catat Ulasan