2014 Tahun Sengsara Rakyat: Sisi pandang Khalifah Umar Bin Abdul Aziz

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»


Pengenalan
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz merupakan khalifah Bani Umayyah. Beliau dilantik menjadi Khalifah melalui surat watikah perlantikan daripada Khalifah Sulaiman pada tahun 99 Hijriah. Tempoh pemerintahannya hanya selama dua tahun lima bulan.

Saat Awal Perlantikan Sebagai Khalifah
Tatkala beliau menerima watikah perlantikan menjadi Khalifah umat islam, beliau menghimpunkan seluruh rakyatnya dan melepaskan jawatan tersebut di hadapan mereka lalu  menyerahkan kepada mereka bagi memilih sendiri siapakah orang yang mereka suka untuk dijadikan sebagai Khalifah. 

Beliau berkata, “Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya aku telah dipertanggungjawabkan dengan jawatan ini sedangkan aku tidak pernah diajak berbincang mengenainya dan tidak pernah memintanya. Perlantikan ini juga, bukannya melalui proses permesyuaratan dengan orang islam yang ahli (mahir) mengenainya. Oleh itu pada hari ini, aku ingin merungkaikan kembali ikatan bai’ah (taat setia) daripada bai’ah kalian terhadap aku sebelum ini. Justeru, terpulanglah kepada kalian untuk memilih siapakah yang kalian suka untuk memimpin kalian.”

Akhirnya Umar diangkat sebagai Khalifah oleh rakyatnya sendiri. Ketahuilah, manusia yang normal sama sekali tidak akan memilih pemimpin yang buruk di kalangan mereka melainkan manusia yang terdapat penyakit kejahilan dalam dirinya.

Pemimpin kita pada hari ini pula, terlampau gila mempertahankan jawatan walaupun umum mengetahui akan buruknya rekod yang telah mereka perbuat. Mereka bukan dilantik, bahkan melantik diri sendiri dengan pelbagai taktik pilihanraya versi sang penguasa. Oleh yang demikian, kekuasaan yang mereka miliki adalah untuk diri dan bukan untuk berbakti.

Kehidupan Sebagai Khalifah
Sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah, Umar dihamparkan dengan hamparan permaidani dan kemudahan di setiap jalan yang beliau lalui. Walaubagaimanapun, beliau menghalang adat tersebut dan memerintahkan supaya semua barangan hamparan dan kemudahan tersebut dijual dan wangnya dimasukkan ke dalam baitulmal (tabung rakyat).

Berbeza dengan pemimpin kita hari ini, negara dan mereka dihias indah, rakyat merana tidak diambil kisah. Bahkan ketirisan wang rakyat sepanjang tahun disenyapkan seolah-olah hanya untuk tatapan sang rakyat yang buta dan alpa. Duit rakyat umpama duit kerajaan yang memerintah. Apabila tiba saat pilihanraya semuanya dicurah. Bila kemenangan dirasa, rakyat kembali menjadi tabungan sang penguasa.
Khalifah Umar pada zaman pemerintahannya pernah menolak cadangan dan memberi amaran kepada seorang gabenor kerana berhasrat menaikkan cukai untuk menambah kewangan negara, “Kamu berlaku adil atau kamu akan dipecat.”

Apakah hasil Negara hanya ada dalam poket rakyat? Mana pergi kekayaan sumber dan hasil negara yang lain? Tidak cukupkah itu semua? Kalau anda tidak pandai memerintah dan mengurus, sila keluar dari negara ini dan berikan kepada yang mampu… Isunya bukan hanya kenaikan kos sara hidup, tetapi ketirisan dan keborosan kerajaan dalam berbelanja.

Penjagaan Harta Negara
‘Amru bin Mujahir meriwayatkan, “Sesungguhnya Umar Bin Abdul Aziz mempunyai lilin tertentu yang hanya dinyalakan ketika berurusan dengan rakyat jelata. Apabila telah selesai urusan tersebut, beliau akan memadamkannya dan kemudian menyalakan lilin peribadinya untuk kegunaannya sendiri.”

Pemergian Datin Seri Rosmah Mansor ke Forum Perniagaan Wanita Antarabangsa Qatar di Doha pada bulan lepas menimbulkan tanda tanya rakyat. Isunya bukan kerana apa dia pergi, tetapi dengan apa dia pergi? Apakah seseorang yang tiada sebarang jawatan dalam kerajaan sewenang-wenangnya boleh menggunakan jet peribadi kerajaan? Kalau yang tiada jawatanpun sudah begitu, apatah lagi yang berjawatan. Ini belum bicara soal bil utiliti RM2.5 juta kompleks kediaman Perdana Menteri yang dikatakan sebagai paling rendah di dunia itu.

Kos Sara Hidup
Pada suatu hari, datang seorang lelaki membawa timbunan harta yang banyak sekali. Kemudian lelaki itu berkata kepada orang-orang di sampingnya, “Bolehkah kalian tolong bahagikan semua harta ini kepada sesiapa sahaja yang kalian rasa layak untuk menerimanya.” Lelaki ini bertindak begitu kerana dia tidak mampu membahagikan hartanya secara bersendirian kerana Khalifah Umar telah menjadikan semua rakyatnya hidup senang.

Namun dalam keadaan rakyatnya hidup senang, Umar lebih selesa hidupnya secara sederhana. Bahkan beliau tidak mahu ada rakyat yang lebih susah daripadanya. Pernah suatu ketika, Khalifah Umar bertanya kepada isterinya, “Wahai Fatimah, adakah kamu mempunyai duit dirham untuk membeli anggur?” Jawabnya, “Tidak. Apakah munasabah orang seperti kamu tidak mempunyai apa-apa untuk membeli anggur?’ Jawab Khalifah Umar, “Keadaan ini lebih memudahkan kita untuk melepaskan diri daripada segala jenis belenggu yang terdapat dalam neraka jahannam.”

Lihat bagaimana Khalifah Umar mencermati rakyatnya. Bahkan pernah penjaga Kaabah meminta beliau untuk menggantikan kelambu Kaabah dengan yang baru. Lantas beliau berkata, “Sesungguhnya aku berpendapat bahwa peruntukan wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli kelambu Kaabah itu lebih utama diberikan kepada mereka yang lapar.”

Memetik kata-kata Ab. Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan, “Golongan pertengahan yang  saya maksudkan merujuk kepada orang melayu yang boleh miliki kereta Mercedes-Benz, ada rumah banglo, mempunyai harta yang kata orang antara RM 2 juta hingga RM 3 juta.” Kata-kata ini jika dinilai, saya dapat simpulkan dua perkara terhadap beliau; pentingkan diri dan langsung tidak peduli pada rakyat. Jadi tidak peliklah apabila hari ini kita merasai pelbagai jenis kenaikan kos sara hidup. Kerajaan yang ada pada hari ini, bukan sahaja hidupnya mewah bahkan tidak tahu ada rakyatnya yang susah. 

Kenaikan yang berlaku pada hari ini langsung tidak mencerminkan sikap cakna kerajaan kepada rakyat. Bahkan sebelum-sebelum ini kita dapat lihat pelbagai respon ‘goblok’ beberapa orang pemimpin tertinggi kerajaan terhadap isu-isu sara hidup yang dilontarkan. Kalau sifirnya hanya, “Kalau tidak setuju, tak perlu guna atau kurangkan’, saya rasa selepas ini kerajaan perlu menerima teori ini untuk masa yang mendatang. Kalau rakyat tidak setuju dengan kenaikan kos sara hidup BN, tak perlu guna BN…

Nasihat-nasihat
Pernah suatu ketika Khalifah Umar ditegur,“Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya Allah telah membuka bagimu pintu kemewahan. Lantaran itu alangkah baiknya jika tuan menggunakan peluang tersebut untuk menghiasi diri tuan dengan pakaian yang hebat.”

Kemudian Khalifah Umar menundukkan kepalanya sebentar lalu berkata, “Sesungguhnya sebaik-baik niat yang paling ikhlas untuk berzuhuh itu adalah pada saat memiliki kemewahan. Masa yang paling sesuai untuk memberikan keampunan itu adalah ketika mampu melakukannya.”

Umar pernah seharian menangis kerana urusan pemerintahannya. Beliau bimbang seandainya ada hanya seekor anak kambing biri-biri mati di atas tebing Sungai Furat disebabkan kecuaiannya. Beliau takut diazab oleh Allah kerana kecuaian tersebut.

Nota Akhir
Buat kerajaan yang berkuasa, kami masih sedar dan waras. Kami tahu bila masa naik dan turun kerajaan di Malaysia. Malam 31 Disember 2013 membuktikan, tiada gulingan yang dibuat melainkan anda sendiri yang mencaturnya di media-media fitnah anda. Tulisan ini saya tujukan kepada semua pemimpin negara, baik daripada kerajaan mahupun yang berhasrat menjadi kerajaan. Saya yakin dan percaya sebahagian daripada pemimpin kerajaan masih lagi prihatin dan cakna kepada rakyat. Mari bersama kami, sokong dan membantu menurunkan kos sara hidup rakyat. 

#Kami sudah ubah cara hidup kami, tinggal lagi hidup anda bila nak berubah?
#Kalau nak merasa duit rakyat macam duit sendiri, masuklah ke dalam hutan dan binalah negara sendiri di sana. Haiwan-haiwan buas di sana lebih memerlukan anda berbanding kami di sini.

‘Umar Bin Abd Aziz
Fakulti kejuruteraan UIAM

0 comments:

Catat Ulasan