Muqaddimah

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Segala puji bagi Allah swt, tuhan pemilik segala nikmat serta selawat dan salam buat junjungan besar yang dikasihi, Muhammad saw. Mudah-mudahan diterima segala amalan hamba yang lemah ini dan dicampakkan rasa cinta yang mendalam kepadaNYA…

Bagaimana keadaan hati saya pada hari ini?

Sihat @ berpenyakit?

Persoalan ini adalah persoalan yang besar, yang perlu ditanyakan berulang kali.
Ibaratnya  saya (seorang tabib) bertanyakan soalan yang sama kepada seorang raja,
“Bagaimana keadaan kesihatan tuanku pada hari ini?”.
Sihatnya raja tersebut menjamin kehidupan saya sebagai seorang tabib tetapi geringnya ‘baginda’ meletakkan saya sebagai tertuduh yang gagal menyembuhkan si raja.

Nabi saw bersabda:
"Di dalam diri manusia ada seketul daging; apabila baik ia maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila rosak ia maka rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah bahawasanya ia adalah hati.”

Saya pada hari ini mungkin kurang mengambil berat soal hati. Seolah-olah tiada kepentingan untuk mengambil berat terhadapnya.
Ibaratnya begini... Mati adalah sesuatu yang diyakini pasti akan kehadirannya. Ini kerana jelas kelihatan di mata saya, kematian itu berlaku pada setiap yang bernyawa. Tetapi kehidupan selepasnya (mati) adalah sesuatu yang masih lagi ada keraguannya.
Bukan tidak percaya, tetapi keyakinan terhadapnya masih boleh diragui.
Sekiranya kuat keyakinan yang saya miliki, mana mungkin saya berani melakukan maksiat terhadap Allah swt.

Lemahnya manusia… Walaupun didatangkan dengan tanda-tanda yang banyak, tetapi masih lagi ada  keraguan dirinya terhadap Allah swt.

Kesimpulannya, hati adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Oleh yang demikian, perhatian yang lebih sepatutnya diberikan terhadapnya. Sekiranya kesihatan tubuh badan yang zahir ini mampu dijaga dengan rapi, dibawa ke hospital bila berpenyakit, masakan tidak hati ini tidak dijaga sebegitu rupa?
Sesungguhnya hati adalah tempat pandangan Allah swt terhadap seorang hamba.

Sabda nabi saw:
"Sesungguhnya seorang hamba apabila ia melakukan satu kesalahan maka akan digoreskan di dalam hatinya satu titik hitam.
Maka apabila ia menarik diri (dari kemaksiatan itu) dan terus beristighfar dan bertaubat( kepada Allah), hatinya akan kembali suci bersih.
Tetapi apabila ia kembali melakukan kesalahan tersebut, maka titik hitam itu akan bertambah (di dalam hatinya) sehingga sampailah titik hitam itu memenuhi segala permukaan hatinya…."

Mudah-mudahan ditetapkan hati ini di jalanNYA...
يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك و على طاعتك

0 comments:

Catat Ulasan