Pengulangan Yang Tiada Henti

Posted by Abu Abdullah | 0 comments»
Ya Allah…
Telah banyak janji yang aku lafazkan...
Untuk tidak mengulangi maksiat yang telah diharamkan...
Namun...
Keinginan nafsu...
Menyebabkan aku lupa siapa diriMU...
Walaupun di saat itu...
Naik dan turun nafasku adalah di bawah genggamanMU...

Tersentuh hati ini bila membaca kitab Tanbihul ghafilin (peringatan bagi mereka yang lalai).
Sampai sahaja ke laman yang ke berapa entah, hati ini terasa sayu dan hiba... 
Setiap kali diberi peluang untuk ber’tazkirah’ (walaupun tidak layak), dalil yang paling kerap aku gunakan ialah:

"Orang-orang yang kufur dengan ayat-ayatKu, kelak akan Ku rendamkan mereka di dalam api neraka... Tatkala terbakar hangus kulit mereka, Ku gantikan kulit tersebut dengan kulit yang lain, untuk mereka merasakan betapa peritnya azab, sesungguhnya Allah adalah maha perkasa lagi maha bijaksana..."[Annisa’, 56]. 

Untuk siapa sebenarnya tazkirah tersebut disampaikan? 
Adakah semata-mata untuk mereka yang berada di hadapanku sahaja? @ untuk diriku jua? 
Ya ابا عبدالله... 
Kata-kata yang keluar daripada mulut seorang yang pendusta, amat sukar untuk dipercayai... 
Kamu banyak bercakap dan mengharapkan perubahan orang lain, tetapi kamu sendiri tidak berusaha ke arahnya dan keyakinanmu hanyalah di bibir, hilang bersama percikan air yang keluar dari mulut...

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, pada suatu hari telah datang Jibril bertemu dengan Rasulullah saw dalam keadaan wajahnya berlainan, tidak seperti kebiasaannya... Rasulullah saw bertanya kepada Jibril tentang perubahannya... Jibril menjawab,’Aku datang bertemu dengan mu pada hari ini, di saat Allah swt memerintahkan agar disemarakkan nyalaan api neraka... Demi Allah! Tidak layak bagi mereka yang meyakini kebenaran azab neraka, seksa kubur dan kedahsyatan balasan Allah berasa aman sebelum mereka terlepas daripadanya… Wahai Rasulullah… Andaikata terdapat kebocoran kecil pada api neraka, nescaya terbakar hangus seluruh penduduk bumi kerana kepanasannya. Jika ahli neraka disiksa di sebelah timur, penduduk di sebelah barat juga turut merasakan kedahsyatan azab yang diterima oleh ahli neraka tersebut…. Kepanasan yang ditanggung hanya dapat dirasai oleh penghuninya... Andaikata diletakkan rantai yang mengikat ahli-ahli neraka di atas sebuah gunung, nescaya akan terbenamlah rantai tersebut hingga ke dasar bumi yang ketujuh.

Menurut satu riwayat, malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk menyeksa ahli-ahli neraka ialah terdiri daripada malaikat yang buta, pekak dan bisu. Mereka menyeksa ahli neraka dengan siksaan yang keras, tiada belas kasihan. Matanya tidak mampu melihat betapa beratnya siksaan terhadap orang yang disiksa, telinganya tidak mampu mendengar jeritan si pendosa, dan lidahnya tidak mampu berkata bagi menenangkan jiwa yang cukup merana.


Pernah suatu ketika, Jibril as diperintahkan oleh Allah swt untuk melakukan tinjauan ke dalam syurga dan neraka. Tinjauan pertama; syurga. Sebaik sahaja keluar daripada syurga, Jibril berkata, ‘Demi Allah! Tidaklah bagi mereka yang pernah mendengar mengenainya melainkan berkehendak untuk memasukinya.’ ‘Wahai Jibril masuklah kamu ke dalamnya sekali lagi,‘ perintah Allah swt. Keluar sahaja Jibril daripada syurga, dia berkata,’Ya Allah! Aku khuatir tiada seorang pun yang layak untuk memasukinya.’
Tinjauan kedua; neraka. Sebaik sahaja keluar daripada neraka, Jibril berkata, ‘tidaklah bagi mereka yang pernah mendengar mengenainya melainkan tidak ingin memasukinya.’ ‘Wahai Jibril masuklah kamu kedalamnya sekali lagi,‘ perintah Allah swt. Keluar sahaja Jibril dari neraka, dia berkata, ‘Ya Allah! Aku khuatir tiada seorang pun yang terlepas daripada memasukinya.’

Beberapa laman daripada buku tersebut telah ku terokai. Fuh… Lega rasanya… Harap-harap aku bukan sekadar membacanya… Tapi… apa jaminan aku terhadapnya? Bagaimana jika aku masih mengulanginya? Adakah alasan bahawa aku ini manusia biasa yang memiliki nafsu yang x puas-puas masih boleh diterima? Jawapannya akan ku ketahui apabila aku mati nanti... Tapi sebelum aku pergi lebih jauh, adakah aku sanggup tanggung risiko ni? Kalaulah alasan tadi diterima, ALHAMDULILLAH sangat2... kalau tidak? Adakah peluang untuk aku kembali ke dunia ini untuk membetulkan segala kesilapan yang telah aku lakukan? 

Firman Allah Taala: "(Demikian keadaan orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, 'Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat kebajikan yang aku tinggalkan.' Sekali-kali tidak (bagi mereka untuk kembali ke dunia)," [Al-Mukminun, 99-100].

Aku mengetahui dan mengerti semua perkara tersebut... 
Tapi apa sebenarnya yang menghalang aku daripada mentaati perintah dan menjauhi segala laranganNya? 
Adakah punca tersebut juga telah diketahui oleh aku? Kalau benarlah perkara tersebut telah diketahui oleh ku, apakah tindakan yang telah aku lakukan? Kenapa tiada apa-apa perubahan terhadap diriku?
Jelaslah... bahawa aku hanya berserah kepadaNya tanpa melakukan apa-apa usaha..


Ramai manusia terlupa dengan keindahan syurga kerana kecantikan dunia yang sementara dan x kurang juga yang lupa dengan kedahsyatan neraka kerana sedikit kesusahan di dunia. 
Lelaki dengan hal wanitanya, si miskin dengan impian kayanya, si alim dengan hal dunianya, masing-masing dengan pelbagai kesibukan yang sengaja disibukkan...

Perbuatan salah akan dianggap sebagai perbuatan harus jika ia kerap dilakukan....
Hanya orang-orang yang mempunyai mata hati; meyakini segala kekuasaan dan kekuatan yang dimiliki oleh Allah swt, yang dapat merasai kedahsyatan dan keperitan azab api neraka.

*Perkara yang sama sering ku ulangi…. lagi dan lagi... harap-harap tidak sampai saat ku mati...

0 comments:

Catat Ulasan