Musafir ke Terengganu

Posted by Abu Abdullah | 1 comments»
Perjalanan yang sedikit panjang, bersama masalah mata yang semakin kemerahan. Bermula daripada Kuala Lumpur ke Kota Tinggi dan seterusnya menaiki bas ke Terengganu selang dua jam tiba di rumah.

Ditemani adik Ahmad Hanif untuk menguruskan hal persekolahannya di sana. Setelah selesai urusan, kami dirapati oleh seorang ustaz, Ustaz Hasbullah. Selepas memperkenalkan diri, rupa-rupanya orang rumah ustaz adalah cikgu yang mengajar saya di PASTI dahulu, cikgu Muslimah namanya. Bahkan cikgu juga merupakan anak murid kepada emak saya ketika di tingkatan 6 sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab perguruan.
Setibanya di rumah cikgu, banyak yang kami perbualkan. Saya dan abang, Mu'az Abd Aziz berbeza setahun umur. Menurut cikgu, kami merupakan generasi awal PASTI di Johor. Abang batch pertama dan saya batch kedua. Kata cikgu, pengarah PASTI Johor pernah sebut, "Walaupun mereka masih kecil, generasi inilah 20 tahun nanti yang akan memperjuangkan islam di bumi Johor."
Bila kira-kira balik rupa-rupanya dah 20 tahun kami tidak berjumpa. Cikgu kata dulu gemuk, sekarang ni, kesiannya kurus je cikgu tengok. Maksudnya memang betul gemuk. Setelah 20 tahun cikgu masih ingat kegemukan tersebut .

Banyak yang dibicarakan. Antaranya isu Subasun, perbezaan kecelikan politik rakyat Terengganu dan Kelantan, faktor yang menyebabkan Terengganu masih belum menang, sikap ketidakadilan UMNO mengagihkan duit bantuan dll.

Ada juga cikgu selitkan tentang hal-hal perkahwinan. Bermula dengan sunnah Nabi saw berkahwin umur 25, cabaran anak-anak masa kini dan keperluan memilih calon isteri yang baik. Di akhir pertemuan cikgu sempat berpesan, "Habis belajar nanti jangan lupa jadi pejuang islam."

Sebelum berangkat balik ke Kota, ustaz bawa kami ke sebuah kedai makan. Selama hampir 26 tahun hidup (kalau ikut tahun) tak pernah saya lihat kedai yang sebegini. Kebiasaan di kedai-kedai, mereka menggantung ayat seribu dinar. Tetapi tidak di kedai ini, di dalamnya tergantung ayat peringatan tetang pendustaan terhadap ayat-ayat Allah, azab kubur, kesan meninggalkan solat dll. Menurut ustaz, kedai ini dimiliki oleh anak Ustaz Awang Terengganu.

Sempat juga saya bertanya tentang apakah faktor YB Mat Said kekal sebagai MB terengganu, walaupun sejujurnya saya tidak tahu apakah nilai tambah yang beliau miliki sebagai seorang wakil rakyat. Beliau terkenal sebagai seorang pendendam dan keras kepala.

Perjalanan yang singkat ini juga, alhamdulillah sempat saya habiskan bacaan buku, 'Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat'. Lama dah tak berkesempatan buat perkara yang sebegini... Sebuah buku yang menarik, mengisahkan bagaimana pemikiran dan ketokohan seorang ulama dalam memimpin sebuah negeri.

Banyak perkara yang dapat saya pelajari dalam perjalanan ini. Mudah-mudahan ada keberkatan. Walaupun exam masih ada lagi berbaki dan juga tugasan-tugasan yang lain. Tapi... InsyaAllah selepas ini.

Maaf, masalah-masalah lain yang dialami sepanjang perjalanan, tidak dapat diganti dengan kenangan manis ini. Ini sudah cukup buat penenang dan peneman diri.

Akhir kata,
Apa yang kita beri, akan diganti.
Apa yang kita perolehi, tak semestinya orang lain turut miliki.
Amanah Allah itu pelbagai, mohon saya lebih memahami.
Penyakit yang ditanggung lama derita, penyembuhnya hanya semudah lafaz 'kun' sahaja...

[3 Januari 2014]

1 comments:

Tanpa Nama Says:

Di mana kedai makan tu?? Di Kuala Terengganu ke? Apa isu Sabasun tu?Sebab selalu belanja di situ time study ksza dulu..

Catat Ulasan